SINGAPURA: Singapura membenarkan pesawat Boeing 737 MAX kembali beroperasi mulai semalam, selepas digantung Lembaga Penerbangan Awam Singapura (CAAS) sejak 12 Mac 2019, berikutan dua nahas udara yang melibatkan pesawat itu di Indonesia dan Ethiopia.
“Keselamatan penerbangan menjadi keutamaan. CAAS telah mengambil langkah lebih teliti untuk menilai, memantau dan memastikan pesawat Boeing 737 MAX dapat beroperasi dengan selamat, sebelum menarik balik penggantungan operasi keluar masuk pesawat berkenaan di Singapura,” kata Ketua Pengarah CAAS, Han Kok Juan, dalam satu kenyataan di sini.
CAAS membuat keputusan itu setelah menyelesaikan penilaian teknikal, meliputi perubahan reka bentuk pesawat oleh Boeing dan diluluskan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) serta pihak berkaitan yang lain.
Selain itu, CAAS turut menyemak data operasi penerbangan pesawat ia kembali beroperasi sepanjang sembilan bulan lalu dan mendapati tiada isu keselamatan dikesan.
Bagi membolehkan penarikan balik itu dikuat kuasa, CAAS memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan Directive 13/2021.
Di bawah Directive itu, pengendali pengangkutan udara Singapura yang mahu menyambung kembali operasi pesawat Boeing 737 MAX diminta untuk mematuhi dan melaksanakan semua langkah seperti yang dinyatakan di dalam FAA Airworthiness Directive (AD) 2020-24-02 dan CAAS Directive 13/2021.
Ini termasuk mewujudkan program latihan kru penerbangan yang diluluskan CAAS merangkumi elemen latihan darat dan latihan penerbangan khas FAA untuk kru penerbangan Boeing 737 MAX, serta latihan simulator tambahan bagi memastikan juruterbang dilatih secukupnya mengenai pengurusan beban kerja ketika menangani kecemasan pesawat.
Singapore Airlines juga harus memastikan CAAS telah mematuhi dan melaksanakan semua keperluan sepertima yang termaktub di dalam FAA AD 2020-24-02 dan CAAS Directive 13/2021 sebelum pesawat Boeing 737 MAX kembali menyambung perkhidmatannya.
Singapore Airlines dilaporkan memiliki enam pesawat jenis itu dan akan menerima lapan pesawat lagi pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022.
Syarikat penerbangan asing yang merancang memulakan operasi pesawat Boeing 737 MAX ke Singapura mesti mematuhi syarat CAAS di bawah perenggan 87A Perintah Navigasi Udara, serta FAA AD 2020-24-02 dan syarat pihak berkuasa penerbangan awam masing-masing.
Setakat ini, pengawal selia yang telah menarik balik sekatan operasi pesawat Boeing 737 MAX termasuk FAA, Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah, Penerbangan Awam Kanada, Lembaga Keselamatan Penerbangan Awam Australia dan Lembaga Penerbangan Awam New Zealand. – Bernama