KUCHING: Platform Halal Bersepadu (HIP) yang akan dilancarkan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) bersempena Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2021 (WHBC 2021) pada 9 September ini bakal mengubah nasib para peniaga kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara.
Umum menyedari bahawa PKS terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. Malah berdasarkan kaji selidik khas Kesan Covid-29 Terhadap Ekonomi Dan Syarikat/Pernigaan – Pusingan 1, ia menunjukkan kira-kira 67.8 peratus peniaga di negara ini tidak membuat sebarang jualan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari tempoh 10 April hingga 1 Mei 2020.
Malah pandemik ini yang bermula sejak hujung 2019 telah membantutkan usaha pelbagai industri dalam persaingan mencapai matlamat pasaran halal global menjelang 2030.
“Memang tidak dinafikan banyak industri terjejas tetapi kita lihat ada satu cahaya di hujung terowong iaitu halal. Industri ini berkembang dan terus berkembang di seluruh dunia, bukan sahaja dalam kalangan orang Islam tetapi juga bukan Islam yang menyakini konsep Toyyiban ini,” kata Ketua Pegawai Komersial HDC, Adly Mohamed di dalam temu bual eksklusif bersama Utusan Sarawak, semalam.
Menyedari peluang yang terbuka luas inilah maka HDC bermatlamat meningkatkan jumlah pemain industri halal dengan membawa PKS turut serta melalui HIP dan seterusnya membuka jalan kepada mereka menuju ke Dunia Ekonomi Baharu.
Mengulas lanjut tetang HIP, beliau berkata, ia merupakan platform halal digital tunggal terbesar yang menghubungkan pemain industri kepada kerajaan, perniagaan dan pengguna dan berperanan memperluaskan jangkauan pasaran ahli serta keupayaan perdagangan dari dalam negara ke peringkat global.
Setakat ini HIP disokong oleh 20 rakan kongsi yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan penyedia perkhidmatan seperti bank, syarikat insurans dan pemain logistik yang berfungsi untuk mempermudahkan PKS yang ingin mengembangkan kemampuan dan kapasiti perniagaan mereka dengan disokong oleh sijil perakuan halal.
Dalam erti kata lain, seluruh ekosistem halal ada di dalam HIP dan ia membuka jalan kepada PKS tempatan untuk menerobos pasaran luar dengan menawarkan saranan, khidmat nasihat, rujukan, tawaran dana, insurans, lesen dan sebagainya daripada agensi-agensi yang turut serta.
Melalui ekosistem HIP, setelah pensijilan halal dicapai, produk tersebut akan dipromosikan sebagai produk halal ‘premium’ Malaysia dan akan dipasarkan di dalam dan di luar negara.
Apa yang mungkin sukar bagi para PKS untuk mempromosikan produk mereka untuk secara besar-besaran sebelum ini, kini berubah dengan adanya pasaran dalam talian ini.
“Sebagai contoh, Sarawak terkenal dengan kak lapisnya. Saya lihat ada yang sudah mencapai tahap premium, pembungkusan pun dah cantik. Jadi saya nak lihat kek lapis Sarawak ini dipasarkan di seluruh dunia dan HIP boleh membantu ke arah itu,” ujar beliau.
HIP juga berbeza dengan pasaran dalam talian yang lain kerana ia menawarkan banyak faedah melalui rangkaian ekosistem yang wujud di dalamnya. Antaranya termasuklah institusi kewangan yang berlainan di dalam rangkaian ekosistem halal, pertukaran perniagaan atau perkhidmatan, perkhidmatan 24/7, saluran ilmu pengetahuan dan banyak lagi.
Menariknya, penyertaan di dalam HIP bukan sahaja terbuka kepada PKS tetapi mana-mana individu yang berminat kerana selain ingin menambah jumlah pemain industri halal, matlamat sampingan HDC adalah untuk menyebar luas pemahaman umum tentang halal.
Sementara itu semua PKS juga dijemput turut serta tidak kira mereka mempunyai sijil atau atau belum.
“Bagi yang sudah ada sijil halal, kita ada pasaran, kita ada sediakan latihan untuk mereka pergi lebih jauh. Bagi yang belum ada sijil halal, HIP akan sediakan khidmat nasihat dan lain-lain hal berkaitan untuk mereka memperolehi sijil halal, manakala bagi individu pula, HIP membantu mereka memahami tentang halal,” tambah beliau.
Memandangkan HIP berlandaskan platform digital, Adly berkata pihaknya dalam proses mewujudkan satu aplikasi khas bagi memudahkan PKS mengakses HIP. Sehingga aplikasi itu siap pada suku pertama tahun 2022, orang ramai yang ingin mendaftar atau berhubung dengan HIP, boleh melayari laman sesawang hip.hdcglobal.com.
Walaupun belum dilancar secara rasmi, HIP kini sudah medaftarkan lebih 3,200 PKS sedangkan sasaran awalnya untuk tahun ini adalah 5,000 orang. Sambutan baik ini menunjukkan keyakinan serta Hasrat PKS untuk memajukan diri mereka di dalam industri di dalam dan di luar negara.
Sementara itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein semasa majlis Pra-Pelancaran WHBC 2021 pada 27 Ogos lalu, industri halal Malaysia telah berkembang menjadi salah satu daripada peneraju utama pertumbuhan ekonomi negara.
Sektor makanan dan minuman halal serta sektor ramuan halal menyumbang bahagian terbesar dengan lebih 85 peratus daripada eksport halal, manakala sektor kosmetik dan perjagaan diri yang halal serta bahan kimia bagi industri farmaseutikal pula menyumbang 13.1 peratus kepada jumlah eksport halal keseluruhan Malaysia pada suku pertama 2021.
Sementara itu, WHBC 2021 yang dianjurkan oleh HDC dengan Kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan membuka tirai pada 9 September ini dan akan membincangkan tentang peranan serta sumbangan industri halal terhadap pemulihan ekonomi secara global.
Lebih 3,000 delegasi dari 35 negara seperti Australia, Kanada, Senegal, Afrika Selatan, Taiwan, United Kingdom dan beberapa negara lain akan mengambil bahagian di dalam persidangan ini.
Oleh HAINI DARANI