KUCHING: Prestasi penjawat awam di dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak tetap konsisten dan tidak pernah menjadikan bekerja dari rumah sebagai satu kekangan atau isu besar untuk melaksanakan tugas ketika pandemik Covid-19 ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, amanah dan kepercayaan yang diberikan dilaksanakan dengan berintegriti.
“Saya bersyukur, di bawah kepimpinan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, prestasi penjawat awam di dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak tetap konsisten dan tidak pernah menjadikan bekerja dari rumah sebagai satu kekangan atau isu besar untuk melaksanakan tugas.
“Oleh yang demikian, komitmen Perkhidmatan Awam amat diperlukan untuk mempermudah pelaksanaan rancangan PCDS 2030 dan memberikan sokongan yang diperlukan kepada Kerajaan negeri, sektor swasta dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Tanah Dan Survei (HIITS) 2021 di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
Ketua Menteri berkata, Strategi Pembangunan 2030 Pasca Covid-19 (PCDS 2030) yang telah dilancarkan pada Julai lalu adalah langkah kehadapan untuk Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Pemilihan tema Hari Inovasi Dan Integriti Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (HIITS) iaitu Transformasi Perkhidmatan Memacu Aspirasi 2030 sangat bertepatan bagi menyokong Strategi Pembangunan 2030 Pasca Covid-19 2030.
“Disebalik pelaksanaan strategi-strategi PCDS 2030 ini ia didorong oleh inovasi dan berdasarkan data-data yang konkrit.
“Strategi Pembangunan ini akan membawa rakyat Sarawak mengalami pembangunan pesat sekaligus meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat dengan lebih banyak akses kepada peluang ekonomi,” katanya.
Mengenai Integriti, Abang Johari menyatakan JTS telah mempunyai Pelan Anti Rasuah Organisasi atau OACP (Organization Anti-Corruption Plan).
“Sebanyak lima strategi dan 55 inisiatif telah dikenal pasti dalam OACP Jabatan bagi meningkatkan tahap integriti, tadbir urus dan usaha menangani kebarangkalian berlakunya rasuah.
“Saya ingin melihat OACP ini sentiasa dipantau dengan rapi dan serius supaya semua inisiatif yang terkandung dapat dipraktikkan secara cekap dan berkesan,” tegasnya.
Oleh JEAKLEYN YACHO