KUCHING, 7 Oktober: Pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan Timur kini memasuki fasa kedua dengan 71 pelabur terlibat dalam pembangunan pelbagai sektor, termasuk hotel, hospital, pusat beli-belah, restoran dan kemudahan sukan.
Ketua Otorita Ibu Kota Nusantara, Basuki Hadimuljono, berkata sebanyak IDR74 trilion (kira-kira AS$4.19 bilion) pelaburan langsung telah diterima daripada 71 pelabur bagi menyokong pembangunan ibu kota baharu Indonesia itu.
Katanya, daripada jumlah berkenaan, lapan pelabur antarabangsa berasal dari Singapura, Rusia, Malaysia, Korea Selatan, China dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Pelaburan langsung sebanyak IDR74 trilion daripada 71 pelabur telah diterima untuk pembangunan hotel, hospital, pusat beli-belah, restoran dan pusat sukan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Borneo Ke-2 bertemakan ‘Membentuk Masa Depan Borneo’ di sini, hari ini.
Basuki berkata pembangunan IKN kini memasuki fasa kedua yang memberi tumpuan kepada pembangunan kompleks legislatif dan kehakiman, selain meneruskan pembangunan infrastruktur serta kemudahan sokongan.
Menurutnya, kompleks legislatif kini mencatat kemajuan 34.4 peratus, manakala kompleks kehakiman mencapai 36.5 peratus dan kedua-duanya disasarkan siap sebelum 2028.
Beliau berkata fasa pertama yang memberi tumpuan kepada kompleks eksekutif telah siap sepenuhnya, merangkumi Pejabat Presiden, Istana Negara, pejabat dan kediaman Naib Presiden, 47 menara pejabat kerajaan serta 51 menara pangsapuri untuk penjawat awam, tentera dan polis.

Katanya, pembangunan IKN turut merangkumi kemudahan asas seperti bekalan air, jalan raya, lapangan terbang, hospital, sekolah, rumah ibadat dan pengangkutan awam elektrik.
Basuki berkata pembangunan IKN dirancang sehingga 2045 dengan pendekatan Bandar Hutan (Forest City), Bandar Span (Sponge City) dan Bandar Pintar (Smart City)bagi mewujudkan bandar yang mengekalkan kawasan hijau, mengurus air hujan secara bersepadu serta memanfaatkan teknologi digital.
“Sebanyak 65 peratus daripada kawasan seluas 252,000 hektar dikekalkan sebagai hutan atau ruang terbuka, manakala 35 peratus dibangunkan untuk pejabat dan infrastruktur lain,” katanya.
Beliau berkata IKN turut mempunyai sembilan zon pembangunan, termasuk kawasan pembangunan teras, pusat kewangan, zon tenaga boleh baharu, pelancongan dan hiburan, pendidikan, inovasi dan penyelidikan, pembangunan komoditi dan perdagangan, serta industri pertanian dan perikanan.
Dalam pada itu, Basuki berkata kerajaan Indonesia telah mengesahkan komitmen untuk meneruskan pembangunan IKN menerusi Peraturan Presiden No. 79 Tahun 2025, yang menetapkan sasaran IKN menjadi ibu kota politik pada 2028.
Beliau berkata pembangunan IKN bukan sekadar membina pusat pentadbiran baharu, sebaliknya membuka peluang jangka panjang kepada pelaburan dan kerjasama ekonomi di rantau Borneo.
Basuki turut mengundang pemimpin, ahli perniagaan dan wakil institusi dari Borneo untuk mengunjungi IKN serta meneroka peluang kerjasama dengan Otorita Ibu Kota Nusantara.

Beliau turut mencadangkan supaya Forum Ekonomi Borneo Ke-3 diadakan di Nusantara.
Untuk rekod, cadangan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan diumumkan Presiden Joko Widodo pada 2019, dengan lokasi yang dipilih meliputi sebahagian wilayah Kabupaten Penajam Paser Utara dan Kabupaten Kutai Kartanegara di Kalimantan Timur.
Undang-Undang No. 3 Tahun 2022 mengenai Ibu Kota Negara kemudiannya diluluskan pada 15 Februari 2022 sebagai asas perundangan pembangunan IKN di Kalimantan Timur.
Pembinaan fizikal IKN bermula pada 2022 dan pembangunan dirancang secara berperingkat sehingga 2045, dengan fasa awal memberi tumpuan kepada kompleks eksekutif serta infrastruktur asas.
Oleh Afiq Sallehi





