KUCHING: Sarawak menyasarkan lebih 90 peratus kawasan di negeri ini disediakan dengan jaringan internet berkelajuan tinggi menjelang tahun 2022.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abnag Johari Tun Openg berkata, kebolehcapaian internet sangat penting untuk mendapatkan maklumat data seperti perancangan bandar, kegunaan tanah dan kualiti tanah yang sangat diperlukan dalam melaksanakan kegiatan ekonomi di atas tanah tersebut.
Katanya, kegiatan pertanian dan pembangunan hal tanah adalah dua aktiviti yang sering berlawanan dalam sudut penggunaan tanah.
“Dalam keadaan ini, kita hendaklah mendapatkan maklumat yang cepat dan tepat. Oleh itu, kerajaan Sarawak sekarang sedang menaik taraf penyambungan dan pendekatan kita adalah melalui pendekatan saluran iaitu ‘Sarawak Menghubungkan Bandar, luar bandar dan seluruh negara.
“Ini adalah satu pendekatan yang telah saya arahkan untuk dilaksanakan oleh beberapa agensi di bawah kelolaan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) dan Sistem Maklumat Sarawak Syarikat Sdn. Bhd. (SAINS)
“Mereka hendaklah berkolaborasi dan kita akan meningkatkan kelajuan internet dan juga akses kepada seluruh kawasan sama ada di bandar dan luar bandar di mana sasaran kita adalah pada tahun 2022.
“Setidak-tidaknya kita dapat meliputi kawasan lebih kurang 90 peratus yang dijaringkan dengan internet yang berkuasa tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Tanah Dan Survei (HIITS) 2021 di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Abdullah Julaihi berkata, kerja-kerja pengukuran tanah NCR terus digagahi walaupun berdepan cabaran pandemik Covid-19.
“Secara kumulatif sehingga 31 Ogos 2021 seluas 999,853 hektar telah siap diukur perimeter di mana 776,226 hektar telah pun diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.
“Pada masa yang sama seluas 55,970 hektar telah pun siap diukur individu. Usaha ini adalah usaha berterusan sebagai amanah yang perlu dipenuhi disamping tugas-tugas lain melibatkan penyediaan Skim Pembesaran Kampung, Skim Penempatan Semula dan amanah sebagai pemudahcara kepada jabatan-jabatan klien yang lain, untuk menyediakan tanah untuk pembangunan seperti infrastruktur asas, jalan raya, jambatan, jaringan menara telekomunikasi dan lain-lain,” katanya.
Katanya lagi, di dalam banyak kejayaan yang telah kita capai kita sedar banyak juga yang perlu kita tambah baik dan belajar, kerana kita selalu percaya ruangan besar di dunia adalah ruang untuk penambahbaikan.
“Sebab itulah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) ini dijadikan medan untuk kita menerima kritikan-kritikan bernas, saling penanda aras kepada amalan terbaik.
“Nasihat dan panduan daripada Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sentiasa kita harapkan di dalam kembara mencapai kesempurnaan,” katanya lagi.
Pada majlis tersebut, Abang Johari turut melancarkan Komplikasi Piktorial Sedekad Menggagahi Pengukuran NCR Inisiatif Baharu (2010-2020).
Turut hari ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Ke-II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion dan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip.
Oleh JEAKQLEYN YACHO