KUCHING, 7 Oktober: Sarawak membuka ruang kepada pelaburan dan kerjasama bagi membangunkan keupayaan pengkomputeran kecerdasan buatan (AI) berasaskan tenaga boleh baharu, selaras dengan usaha membina ekosistem teknologi bernilai tinggi di Wilayah Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pendekatan itu sedang diterokai menerusi Grid AI yang menggabungkan infrastruktur pengkomputeran, kesalinghubungan digital dan sumber tenaga boleh baharu Sarawak.
Beliau berkata pelaburan dalam pusat data tidak seharusnya hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk membangunkan industri berteknologi tinggi, memperkukuh keupayaan tempatan dan mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi.
“Pusat data konvensional sahaja tidak menjamin nilai ekonomi. Yang penting ialah bagaimana pelaburan ini digunakan untuk membina industri berteknologi tinggi, membangunkan keupayaan dan mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Forum Ekonomi Borneo Ke-2 bertemakan ‘Membentuk Masa Depan Borneo’ di Kuching, hari ini.
Abang Johari berkata Sarawak kini meneroka Grid AI yang menghubungkan sumber pengkomputeran dengan sumber tenaga boleh baharu bagi menyokong keperluan pengkomputeran berprestasi tinggi.
Menurutnya, matlamat Sarawak adalah untuk melangkaui peranan sebagai tuan rumah kepada infrastruktur pusat data dengan membangunkan keupayaan dalam bidang seperti pengkomputeran pinggir, pemprosesan data satelit dan aplikasi AI.
“Matlamat kita perlu melangkaui sekadar menjadi tuan rumah kepada infrastruktur. Kita mahu membina keupayaan dalam bidang seperti pengkomputeran pinggir, pemprosesan data satelit dan aplikasi AI dalam pertanian, pengawasan maritim, pengurusan bencana, perakaunan karbon dan kesalinghubungan sempadan,” katanya.
Beliau berkata pembangunan ekosistem itu memerlukan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, pelabur dan pihak berkepentingan bagi menggabungkan kepakaran teknologi, infrastruktur digital serta sumber tenaga yang ada.
Dalam usaha menyediakan asas kepada ekosistem berkenaan, Sarawak sedang membangunkan Kampus Data AI Kuching di Tanjung Embang yang dirancang dengan bekalan tenaga dan air khusus, kemudahan pengkomputeran AI serta nod kesalinghubungan digital.
Kampus berkenaan dibangunkan melalui pendekatan kerjasama awam-swasta (PPP), dengan tapak seluas kira-kira 405 hektar dikenal pasti. Fasa awal pembangunan pula melibatkan sekitar 120 hektar.
Projek itu dirancang sebagai asas fizikal kepada pembangunan Grid AI Sarawak, sekali gus menyediakan kemudahan yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan pengkomputeran AI dan industri berkaitan.
Abang Johari berkata pembangunan berkenaan merupakan sebahagian daripada peralihan Sarawak daripada strategi kepada pembangunan infrastruktur dan seterusnya kepada aplikasi AI yang boleh digunakan dalam pelbagai sektor.

Pada masa sama, Sarawak turut membangunkan Platform Infrastruktur AI Berdaulat bagi menyediakan asas pengkomputeran AI yang ditadbir secara tempatan, selain menyokong pengurusan dan perlindungan data strategik kerajaan.
Beliau berkata Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) pula memainkan peranan dalam membangunkan keupayaan, bakat dan aplikasi AI, selain menyokong pembangunan ekosistem inovasi di Sarawak.
Menurutnya, Sarawak juga sedang membangunkan Rangka Tindakan AI Sarawak 2026-2030 bagi menyelaras pembangunan AI merentas kerajaan, industri, akademia dan penyelidikan.
Antara aplikasi yang sudah mula digunakan ialah ADAM AI dalam Perkhidmatan Awam Sarawak, yang membantu pengurusan maklumat, analisis dasar, penyediaan dokumen serta penilaian senario bagi menyokong proses membuat keputusan.
Abang Johari berkata potensi AI tidak hanya tertumpu kepada sektor awam, malah boleh dikembangkan mengikut keperluan sektor pertanian, maritim, pengurusan bencana, alam sekitar dan sektor ekonomi lain.
Beliau berkata kelebihan sumber tenaga boleh baharu Sarawak menjadi antara asas penting dalam usaha itu, khususnya apabila teknologi AI dan pengkomputeran berprestasi tinggi memerlukan bekalan tenaga yang stabil dan besar.
Perkara itu turut diberi perhatian ketika lawatan kerja beliau ke United Kingdom dan Ireland pada Mei lalu, termasuk lawatan ke kemudahan superkomputer Isambard-AI di Bristol yang menggunakan teknologi pengkomputeran berprestasi tinggi.
Menurutnya, pengalaman tersebut memberikan gambaran mengenai hubungan antara infrastruktur pengkomputeran AI berskala besar dengan keperluan tenaga, sekali gus membuka ruang untuk Sarawak meneroka pendekatan yang memanfaatkan sumber tenaga boleh baharunya.
Dalam konteks lebih luas, usaha membangunkan Grid AI turut berjalan seiring dengan peningkatan kesalinghubungan tenaga di Borneo.
Sambungan grid Sarawak-Sabah telah ditenagakan pada Januari 2026, selepas pertukaran tenaga antara kedua-dua sistem dimulakan pada Disember 2025, dengan kapasiti sehingga 50 megawatt elektrik dibekalkan dari Sarawak ke Sabah, tertakluk kepada keperluan dan kesiapsiagaan sistem.
Sambungan itu melengkapkan interkoneksi Sarawak dengan Kalimantan Barat, Indonesia, yang mula beroperasi pada 2016, sekali gus membentuk asas lebih luas kepada usaha menghubungkan sistem tenaga di Borneo.
Abang Johari berkata pada masa sama, Sarawak perlu memperkukuh kesalinghubungan digital, kemahiran dan ekosistem inovasi bagi memastikan manfaat teknologi dapat diperluaskan melangkaui pusat bandar utama.
Katanya, pendekatan itu turut boleh diperluaskan ke seluruh Borneo dengan menghubungkan keupayaan digital, data dan bakat bagi membentuk ekosistem digital yang lebih bersepadu, selain menyokong inovasi, daya saing dan pertumbuhan inklusif.
Oleh Afiq Sallehi





