Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.0 di perairan Sandakan

Facebook
WhatsApp
GEMPA bumi bermagnitud 5.0 melanda perairan Sandakan pada 9.11 malam, hari ini, dengan gegaran turut dirasai di sekitar Pantai Timur Sabah. Foto MetMalaysia

KOTA KINABALU, 6 Oktober: Kejadian gempa bumi sederhana bermagnitud 5.0 berlaku di perairan Sandakan pada 9.11 malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan pusat gempa berkenaan dikesan berkoordinat 4.9 darjah Utara dan 118.7 darjah Timur pada kedalaman 10 kilometer.

Menurut METMalaysia, lokasi episentrum gempa bumi itu terletak kira-kira 48 kilometer di timur Lahad Datu.

“Kesan gegaran akibat insiden berkenaan dilaporkan turut dirasai di sekitar kawasan Pantai Timur Sabah,” katanya.

Pihak METMalaysia mengesahkan akan terus memantau rapat perkembangan semasa susulan insiden gempa berkenaan.

Dalam pada itu, METMalaysia memohon kerjasama orang awam yang merasai gegaran tersebut untuk mengisi borang soal selidik menerusi pautan rasmi di https://forms.gle/fMioquNhRNQGCbZVA bagi membantu proses pengumpulan maklumat lapangan.- Bernama