MyGOV Malaysia himpun pelbagai perkhidmatan kerajaan dalam satu aplikasi – Fahmi

Facebook
WhatsApp
MYGOV Malaysia himpun pelbagai perkhidmatan kerajaan dalam satu aplikasi - Fahmi. Foto laman web MyGOV Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 Oktober: Urusan harian rakyat kini dipermudah apabila pelbagai perkhidmatan utama kerajaan seperti lesen memandu, cukai jalan, semakan saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pasport, janji temu klinik kerajaan dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), disepadukan di bawah satu platform iaitu aplikasi MyGOV Malaysia.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata aplikasi itu dibangunkan, bagi memudahkan rakyat mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan tanpa perlu menggunakan portal atau aplikasi yang berbeza.

“Tidak perlu lagi cari perkhidmatan kerajaan di merata tempat. Kita sudah kumpulkan pelbagai perkhidmatan kerajaan dalam satu aplikasi, supaya urusan rakyat menjadi lebih mudah dan lancar,” katanya menerusi hantaran video di laman media sosialnya hari ini.

Fahmi berkata aplikasi itu, turut menyediakan akses semakan Wang Tak Dituntut (WTD), manakala integrasi perkhidmatan lain akan ditambah secara berperingkat.

Menariknya, beliau berkata MyGOV Malaysia turut dilengkapi dengan ciri kecerdasan buatan ‘AI Chat’ yang membolehkan pengguna mendapatkan maklumat dan jawaban berkaitan perkhidmatan kerajaan secara terus.

“Objektif kita mudah, kita bawa seluruh perkhidmatan kerajaan terus kepada rakyat dalam satu aplikasi yang serba lengkap,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menggalakkan orang ramai memanfaatkan kemudahan digital berkenaan dengan memuat turun MyGOV Malaysia, bagi memudahkan urusan harian dengan perkhidmatan kerajaan. – Bernama