KUCHING: Semenjak setahun yang lepas, saban hari kita sentiasa mendengar mengenai kes Covid-19. Individu yang positif Covid-19 akan ditempatkan di pusat kuarantin ataupun di rumah atas arahan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sering juga kita dengar kematian yang diakibatkan oleh wabak penyakit Covid-19 hampir setiap hari di seluruh dunia.
Menerusi temu bual Utusan Sarawak bersama pesakit positif Covid-19, Fareen Farina Waida, 26 tahun menceritakan liku kehidupannya sebagai pesakit positif Covid-19. Beliau dan bapanya disahkan positif Covid-19 pada Jun lalu setelah ibu dan adik perempuannya juga disahkan positif.
“Sejurus selepas keputusan ujian saringan saya keluar dan disahkan positif pihak KKM terus mengambil saya dan dihantar ke pusat kuarantin Batu 13. Pihak KKM menjemput saya di rumah sekitar 4.00 petang.
“Kami transit di Pusat Belia dan Sukan sehingga 8.00 malam dan terus ke Batu 13. Pengalaman sebagai pesakit Covid-19 sememangnya suatu yang sukar dilupakan dan perasaan bercampur baur pada ketika itu.”
Tambah beliau, jururawat yang bertugas di pusat kuarantin akan membuat pemeriksaan dari semasa ke semasa untuk memastikan kadar kesihatan pesakit Covid-19 dalam keadaan yang terkawal.
“Pada hari seterusnya saya mengadu sakit dada tidaklah sampai sesak nafas dan jururawat mula membuat pemeriksaan dan kadar oksigen saya agak rendah dari 95 peratus turun sehingga 90 peratus.
“Setelah itu saya dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (Kecemasan) untuk diberikan oksigen dan saya dimasukkan selama tiga hari. Jika ditanya ubat yang diberi oleh pihak Hospital saya cuma diberikan suntikan dua kali sehari sepanjang tempoh dikuarantin, diambil darah dan menjalani pemeriksaan X-ray.
“Saya juga tidur dalam kedudukan meniarap oleh pihak hospital bagi melancarkan pernafasan dan tahap oksigen saya dan tidak hanya bergantung kepada oksigen tiub yang digunakan bagi pesakit Covid-19 yang memerlukan oksigen,” ujarnya lagi ketika ditemu bual oleh Utusan Sarawak.
Katanya, di antara simptom yang dihadapi ialah pening kepala, sakit badan, tetapi deria rasa dan bau masih ada cuma hilang selera makan.
“Sepanjang tempoh dikuarantinkan ‘nothing much that we can do’ hanya berdoa dan berharap pulih dari Covid-19. Dari Batu 13 saya ditempatkan di Pusat Belia dan Sukan untuk senang dipantau oleh pihak hospital setelah tahap oksigen saya menurun dan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini saya akan terus dibawa ke Hospital Umum Sarawak
“Sekiranya anda seorang pesakit positif Covid-19, jangan mudah panik. Sentiasa mengikut nasihat dari pihak hospital atau jururawat yang bertugas. Saya bersyukur walaupun kini sudah pulih dan sudah mendapatkan vaksin saya harus sentiasa menjaga kesihatan bimbang akan dijangkiti buat kali kedua. Paling penting sentiasa berfikiran positif dan cekalkan hati. Setiap pesakit Covid-19 mempunyai jalan cerita dan simptom yang berlainan jika mempunyai gejala segeralah membuat pemeriksaan.”
Oleh AZREEN KERIA