F1: Bottas berkayuh dari Malaysia ke Singapura

Facebook
WhatsApp
PEMANDU Pasukan F1 Cadillac, Valtteri Bottas, memilih basikal sebagai pengangkutan dari Malaysia ke Singapura selepas GP Bahrain Gulf Air di Malaysia 2026. Foto Agensi

KUALA LUMPUR, 6 Oktober: Bukan kapal terbang atau kereta, sebaliknya pemandu Pasukan Formula 1 (F1) Cadillac, Valtteri Bottas, memilih cara yang agak luar biasa untuk melakukan perjalanan dari Malaysia ke Singapura, iaitu dengan menunggang basikal.

Hanya beberapa jam selepas Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air di Malaysia 2026 berakhir pada Ahad lepas, pelumba berusia 37 tahun dari Finland itu memulakan perjalanan ke selatan untuk menghadiri pusingan F1 seterusnya dengan kayuhan yang menguji ketahanannya.

Bottas berazam merentas jarak lebih 300 kilometer (km) dari Sepang ke Singapura, yang dijangka mengambil masa beberapa hari sebelum beliau menyertai padok F1 bagi GP Singapura 2026 yang berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober.

“Ya, saya berbasikal ke Singapura melalui jalan-jalan yang jarang dilalui,” katanya menerusi hantaran Instagram.

Perjalanan itu membawa Bottas melalui jalan berbatu kelikir dan laluan tanah merah, termasuk merentasi ladang kelapa sawit dalam kegelapan malam dengan hanya diterangi lampu pada basikalnya.

Peminat tegar aktiviti berbasikal itu turut bertembung dengan sekumpulan monyet dalam perjalanan, selain melalui kawasan bersejarah Stadthuys di Melaka sebelum meneruskan kayuhan ke Johor.

Berdasarkan rekod yang dikongsikan menerusi Strava, hentian pertama Bottas selepas meninggalkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ialah Port Dickson, dengan jarak 56.6 km yang ditempuh dalam masa lebih sedikit daripada dua jam.

Bekas pemandu Pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas itu kemudian meneruskan perjalanan sejauh 161.91 km dalam masa lebih lima jam dan dilaporkan telah tiba di Muar, Johor, sebelum meneruskan kayuhan menuju Singapura.

Strava ialah platform penjejakan kecergasan sosial yang merekodkan aktiviti seperti berbasikal dan berlari, termasuk jarak, laluan, tempoh dan kelajuan, sekali gus membolehkan pengguna menjejak serta berkongsi aktiviti senaman mereka.

Malah, kelibat Bottas sebenarnya sudah biasa dilihat di sekitar Sepang sebelum GP Bahrain di Malaysia bermula kerana beliau berbasikal di jalan yang dikelilingi ladang kelapa sawit bagi menyesuaikan diri dengan cuaca di negara ini menjelang perlumbaan pada hujung minggu lepas.

Perjalanan luar biasa Bottas ke Singapura itu menyusul selepas kekecewaannya pada GP Bahrain di Malaysia apabila beliau terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal selepas terbabas ke kawasan batu kelikir pada pusingan kesembilan.

Perlumbaan itu dimenangi juara dunia empat kali, Max Verstappen daripada Red Bull Racing, yang meraih kemenangan sulungnya musim ini.

Pendahulu kejuaraan dunia, Kimi Antonelli daripada Mercedes, menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton daripada Ferrari, melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.

Pada Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Bahrain Gulf Air dari 2 hingga 4 Oktober, susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain. – Bernama

Olise bantu Perancis tewaskan Belgium

PARIS, Perancis, 6 Oktober: Michael Olise yang masuk sebagai pemain gantian mengilhamkan kemenangan 4-1 Perancis ke atas Belgium dalam saingan