KUALA LUMPUR, 5 Oktober: Persatuan Farmasi (MPS) menyarankan supaya program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diperluas kepada farmasi komuniti yang layak di seluruh negara menerusi Belanjawan 2027 bagi meningkatkan akses kepada ubat-ubatan dan produk kesihatan asas.
MPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan cadangan itu akan membolehkan penerima yang layak menggunakan peruntukan SARA untuk membeli ubat-ubatan, produk kesihatan yang diluluskan serta barangan keperluan lain melalui farmasi komuniti yang mengambil bahagian.
Menurut persatuan itu, tinjauan oleh Ipsos yang melibatkan 1,000 pengguna SARA mendapati 92 peratus responden mahu farmasi komuniti yang layak dimasukkan dalam rangkaian bantuan kerajaan.
MPS berkata dapatan itu turut menunjukkan wujud jurang dari segi akses apabila 59 peratus responden melaporkan bahawa mereka tidak dapat menggunakan peruntukan SARA di premis pilihan sepanjang tahun lepas.
Menurut kenyataan itu, antara sebab utama keadaan berkenaan ialah premis pilihan mereka tidak menerima SARA, barangan yang ingin dibeli tidak layak di bawah program berkenaan atau berlaku gangguan pada sistem pembayaran SARA.
MPS memaklumkan 47 peratus responden yang melaporkan sesetengah barangan keperluan harian tidak disenaraikan di bawah SARA mengenal pasti ubat-ubatan atau produk kesihatan sebagai antara barangan yang ingin dibeli.
Menurut persatuan itu, peluasan rangkaian SARA kepada farmasi komuniti yang layak dapat merapatkan jurang dari segi akses peruncitan, selain mendekatkan produk penjagaan kesihatan asas kepada penerima.
“Farmasi komuniti menawarkan lebih daripada sekadar saluran peruncitan tambahan.
“Mereka menyediakan akses kepada profesional penjagaan kesihatan berdaftar yang boleh menasihati pengguna mengenai penggunaan ubat-ubatan dan produk kesihatan yang sesuai dan selamat,” menurut MPS.
MPS turut memaklumkan pihaknya bersedia bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan berkaitan bagi membangunkan kerangka yang sesuai untuk penyertaan farmasi komuniti dalam SARA. – Bernama



