SEPANG, 4 Oktober: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan telah memulakan perbincangan berhubung kemungkinan Malaysia kembali menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1).
Beliau berkata ruang perbincangan mengenai penganjuran sukan permotoran berprestij itu telah dibuka dan perbincangan lanjut akan diadakan bersama Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif F1 Stefano Domenicali.
Namun, Anwar berkata perkara itu masih di peringkat awal.
“Itu kita bincang dengan Presiden F1, Stefano. Tapi masih terlalu awal. Dia telah buka untuk berbincang dan kita kena bincang,” katanya kepada Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selepas perlumbaan Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia akan kembali menjadi penganjur F1.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata sebarang keputusan untuk membawa semula perlumbaan itu ke litar negara memerlukan penilaian teliti, termasuk mengambil kira kepentingan penganjuran sukan berkenaan kepada Malaysia serta implikasi kos yang akan terlibat.
Terdahulu, Anwar dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Putera Salman bin Hamad Al-Khalifa menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah GP Malaysia di SIC dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1 atas faktor kos penganjuran.
Pada Julai lepas, F1 mengesahkan Malaysia sebagai lokasi penganjuran GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober, susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa serta Kerajaan Malaysia dan Bahrain, sekali gus menyaksikan acara berprestij itu kembali ke SIC selepas sembilan tahun.
Kepulangan F1 ke Malaysia itu adalah susulan perbincangan dan kerjasama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa dari Bahrain, selain kedua-dua kerajaan, bagi mengekalkan GP Bahrain dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim ini susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Perlumbaan hari ini, yang ditunda sementara akibat hujan lebat, menyaksikan juara dunia empat kali Max Verstappen dari Red Bull Racing meraih kemenangan sulungnya musim ini.
Beliau turut memenangi perlumbaan pada kali terakhir F1 diadakan di SIC.
Pendahulu kejuaraan Kimi Antonelli dari Mercedes-AMG Petronas menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton dari Ferrari melengkapkan podium di tempat ketiga. – Bernama





