BETONG, 4 Oktober: Tanah Berenyang Band mencipta kejayaan gemilang apabila muncul juara Anugerah Carta Sapa Juara (ACSJ) Ke-9 menerusi lagu “Arissa”, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.
Lagu ciptaan Jesley Jabu dan Matthius Mambang itu berjaya menewaskan persaingan sengit 11 finalis lain dalam malam kemuncak ACSJ Ke-9 yang menghimpunkan bakat-bakat terbaik industri muzik Iban.
Tempat kedua menjadi milik Gibrael Mawat Clement Saran menerusi lagu “Dayang Bintang” ciptaan Maxwell Franklin Saran, manakala Phoebe Chloe menduduki tempat ketiga menerusi lagu “Diempu Nuan Siku”, ciptaan Phoebe Chloe dan Deen Aladdin.
Mawat turut mencuri perhatian apabila membolot beberapa anugerah lain termasuk Artis Paling Popular, Persembahan Terbaik serta Lagu Paling Popular menerusi “Dayang Bintang”.

Bagi kategori Vokal Terbaik, anugerah dimenangi Winnie Albert, manakala Lirik Terbaik menjadi milik Joannes Johny Aman menerusi lagu “Nuan Bisi Intan Dikembuan” hasil ciptaannya sendiri.
Sementara itu, Ramles Walter dinobatkan sebagai Artis Paling Sporting dan membawa pulang hadiah wang tunai RM500.
Selain hadiah utama RM10,000 untuk juara, Naib Juara menerima RM8,000 manakala tempat ketiga membawa pulang RM5,000.
Pemenang Vokal Terbaik menerima RM1,000, manakala Lirik Terbaik dan Artis Paling Popular masing-masing menerima RM500. Pemenang Persembahan Terbaik dan Lagu Paling Popular pula masing-masing membawa pulang RM1,000.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata ACSJ terus memainkan peranan penting sebagai wadah untuk mengangkat bakat serta karya penggiat muzik Iban, selain membuka ruang kepada generasi muda membina kerjaya dalam industri kreatif.
Menurutnya, industri muzik bukan sekadar ruang mengekspresikan kreativiti, malah mampu menjadi platform kepada anak muda untuk mengangkat identiti dan budaya masyarakat sendiri.
Beliau berharap lebih ramai anak muda Iban melihat industri muzik dan kreatif sebagai bidang kerjaya serta keusahawanan yang mempunyai masa depan.
Uggah turut mengucapkan tahniah kepada semua finalis yang berjaya melangkah ke pentas akhir, sambil berharap pertandingan itu dimanfaatkan untuk membina pengalaman, keyakinan dan jaringan dalam usaha melangkah lebih jauh dalam industri muzik.

“Kemenangan adalah satu pencapaian, tetapi karya yang terus hidup dan memberi makna kepada masyarakat merupakan legasi yang lebih besar,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pencipta lagu, penyanyi, pemuzik, penerbit, juri, urus setia, rakan strategik, penaja serta semua pihak yang menjayakan ACSJ Ke-9.
Katanya, ACSJ diharap terus berkembang daripada sebuah pentas pertandingan kepada platform pembangunan bakat, pengkaryaan dan industri yang mampu melahirkan lebih ramai profesional muzik Iban serta membuka peluang ekonomi dalam sektor kreatif Sarawak.
Malam kemuncak ACSJ Ke-9 yang berlangsung di di Dewan Stephen Kalong Ningkan, di sini, malam tadi menyaksikan 12 finalis bersaing bagi merebut gelaran juara selain beberapa kategori anugerah lain.
Antara finalis yang mengambil bahagian ialah Mawat, Ramles Walter, Winnie Albert, Masterpiece dan juara ACSJ Ke-8, Dayana Shini.
Oleh Adi Safarman





