LUBOK ANTU, 4 Oktober: Seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun yang dipercayai berperanan sebagai ‘keldai akaun’ ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam enam kes penipuan membabitkan kerugian keseluruhan RM57,000.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin berkata, suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, semalam.
Menurutnya, suspek dipercayai terlibat dalam lima kes penipuan pekerjaan atau job scam serta satu kes penipuan membabitkan tawaran hadiah atau peraduan.
“Kesemua enam kes berkenaan dilaporkan di Pahang, Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah dengan jumlah kerugian keseluruhan RM57,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong penyerahan harta.

Dalam perkembangan berasingan, seorang lelaki warga asing berusia 45 tahun turut ditahan pasukan Petugas Khas IPD Lubok Antu dalam Op Lejang/Op Pintas di Jalan Nanga Kesit, Engkilili, pagi semalam.
Suspek ditahan selepas pasukan polis mengesan sebuah motosikal ditunggang dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dijalankan.
Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah, manakala motosikal yang digunakan turut dirampas untuk siasatan lanjut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
DSP Pricha menegaskan IPD Lubok Antu akan terus komited melaksanakan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah berkenaan sentiasa terjamin
Oleh Adi Safarman




