PAKAN, 4 Oktober: Dua jambatan baharu di Jalan Ulu Wak yang siap dibina dengan kos RM1.5 juta kini memberi akses lebih selamat dan selesa kepada penduduk lapan rumah panjang, selain warga pendidik serta murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Kedup.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri Dato’ Sri William Mawan Ikom berkata, kemudahan infrastruktur yang baik penting dalam memastikan pergerakan masyarakat luar bandar tidak terjejas, terutama bagi urusan harian dan kegiatan ekonomi.
Katanya, projek tersebut dilaksanakan menerusi peruntukan Projek Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dengan kos pembinaan berjumlah RM1.5 juta.
“Siapnya kedua-dua jambatan ini menyediakan akses lebih baik kepada penduduk lapan rumah panjang yang menggunakan Jalan Ulu Wak, selain memberi manfaat kepada komuniti SK Nanga Kedup.
“Kemudahan ini turut memainkan peranan penting dalam menyokong aktiviti pertanian apabila penduduk mempunyai akses lebih baik untuk membawa hasil keluar dari kawasan masing-masing.
“Dengan adanya kemudahan seperti ini, penduduk akan lebih mudah mengeluarkan dan membawa hasil pertanian dari kawasan masing-masing untuk dipasarkan. Secara tidak langsung, keadaan ini dapat membantu meningkatkan aktiviti ekonomi masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan turun padang bagi meninjau keadaan dan hasil pelaksanaan kedua-dua jambatan tersebut, semalam.
Menurutnya, akses yang lebih baik bukan sahaja memudahkan urusan membawa hasil pertanian ke pasaran, malah dapat membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mengusahakan sektor tersebut sebagai sumber ekonomi.
“Manfaat projek ini turut dirasai warga pendidik yang berkhidmat di kawasan Ulu Wak, khususnya mereka yang perlu berulang-alik menggunakan laluan tersebut untuk menjalankan tugas di kawasan pedalaman.
“Penyediaan kemudahan asas yang baik seperti jambatan merupakan antara keperluan penting dalam memastikan perjalanan penduduk dan warga pendidik menjadi lebih selamat serta selesa,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan pelaksanaan projek berkenaan menunjukkan keperluan masyarakat Ulu Wak terus diberi perhatian dalam pembangunan kawasan luar bandar.
Tambahnya, pembangunan infrastruktur perlu dilaksanakan secara berterusan berdasarkan keperluan masyarakat supaya kemudahan yang disediakan benar-benar memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Selain aspek perhubungan, kemudahan tersebut diharap dapat menyokong perkembangan aktiviti pertanian, pendidikan dan ekonomi di kawasan Ulu Wak dan meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
Oleh Earl Anek



