Lumba-lumba False Killer Whale mati selepas kembali terdampar di Pantai Pueh

Facebook
WhatsApp
SEEKOR mamalia marin spesies False Killer Whale (Pseudorca crassidens) betina dewasa ditemui mati selepas kembali terdampar di kawasan Pantai Kem Belia Pueh. Foto: SFC

SEMATAN, 4 Oktober: Seekor mamalia marin spesies False Killer Whale (Pseudorca crassidens) betina dewasa ditemui mati selepas kembali terdampar di kawasan Pantai Kem Belia Pueh, semalam.

Pengawal Hidupan Liar Sarawak, Abang Arabi Abang Aimran, berkata Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) sebelum itu menerima maklumat mengenai mamalia marin berkenaan yang terdampar di persisiran Pantai Pueh.

Menurutnya, SFC merakamkan penghargaan kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Lundu/Sematan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta orang awam yang bertindak pantas membantu melepaskan mamalia marin tersebut kembali ke laut.

“Tindakan segera untuk melepaskan semula mamalia marin tersebut ke laut amat dihargai dan memperlihatkan kesedaran serta kerjasama tinggi daripada agensi berkaitan dan orang awam dalam usaha pemuliharaan hidupan liar di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, sekitar 9.00 pagi, SFC menerima maklumat daripada nelayan tempatan bahawa mamalia marin itu kembali terdampar di kawasan Pantai Kem Belia Pueh dalam keadaan lemah sebelum disahkan mati sekitar 2 .00 petang.

Hasil penelitian terhadap morfologi luaran dan jumlah gigi mendapati haiwan berkenaan merupakan seekor False Killer Whale betina dewasa berukuran 3.85 meter panjang dengan lilitan badan 1.77 meter.

Susulan kejadian itu, SFC menjalankan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan haiwan marin terdampar serta pemeriksaan nekropsi terhadap bangkai berkenaan.

Spesimen biometri turut diambil bagi tujuan penyimpanan data bank DNA sebagai rujukan pada masa hadapan. Operasi berkenaan melibatkan sembilan kakitangan SFC dengan bantuan enam penduduk Kampung Pueh.

SEEKOR mamalia marin spesies False Killer Whale (Pseudorca crassidens) betina dewasa ditemui mati selepas kembali terdampar di kawasan Pantai Kem Belia Pueh. Foto: SFC

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan gigitan jerung pada badan haiwan tersebut, manakala kandungan dalam perutnya sangat minimum dan bercampur dengan pasir.

Keadaan itu menunjukkan haiwan berkenaan berkemungkinan tidak berjaya mendapatkan makanan yang mencukupi sebelum kejadian terdampar.

Berdasarkan penemuan nekropsi, kematian dipercayai berkaitan dengan komplikasi akibat kejadian terdampar, termasuk kemungkinan kegagalan sistem peredaran darah akibat tekanan haba (heat stroke).

SFC memaklumkan semua spesies mamalia marin seperti lumba-lumba, paus dan dugong diklasifikasikan sebagai haiwan yang dilindungi sepenuhnya di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengendalikan sendiri mana-mana hidupan liar yang terdampar, cedera atau mati.

Sebaliknya, kejadian perlu segera dilaporkan kepada SFC menerusi talian hotline atau Pejabat Wilayah Kuching SFC yang berhampiran bagi membolehkan tindakan penyelamatan, pemeriksaan dan pengurusan sewajarnya dilaksanakan.

Sebagai rekod, spesies False Killer Whale pernah direkodkan terdampar di pantai Miri pada 2013.

SFC turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi, komuniti setempat dan orang awam yang memberikan kerjasama dalam pengendalian kejadian berkenaan.

Oleh Adi Safarman