LIMBANG, 3 Oktober: Peningkatan hasil negeri memberi ruang lebih besar kepada kerajaan Sarawak untuk memperkukuh pembangunan serta meneruskan pelbagai projek dan bantuan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, peningkatan hasil berkenaan membolehkan kerajaan negeri memperluas pelaksanaan projek pembangunan, termasuk pembinaan jalan raya dan jambatan di seluruh Sarawak.
Beliau berkata, hasil Sarawak yang sebelum ini berada pada paras sekitar RM5 hingga RM6 bilion kini meningkat kepada sekitar RM12 bilion hingga RM14 bilion di bawah kepimpinan Premier Sarawak.
“Pada tujuh hingga lapan tahun lalu, pendapatan hanya sekitar RM5 hingga RM6 bilion. Tetapi di bawah pentadbiran Premier Sarawak, ia meningkat kepada RM12 bilion, RM13 bilion dan RM14 bilion.
“Pada tahun hadapan, pendapatan dijangka antara RM14 bilion hingga RM15 bilion,” katanya ketika berucap pada Program Festival Kuih Bulan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Hin Limbang anjuran Persatuan Foochow Limbang, semalam.
Menurutnya, peningkatan hasil negeri turut membolehkan kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat selain memperkukuh agenda pembangunan di kawasan luar bandar.
Katanya, momentum pembangunan Limbang perlu diteruskan secara bersama dengan mengambil kira kepelbagaian masyarakat di kawasan berkenaan.
“Kalau orang Limbang mahu pembangunan ini berterusan, pada pilihan raya nanti undilah calon yang mewakili GPS,” katanya.
Abdul Rahman berkata, masyarakat Limbang yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik termasuk Cina, Melayu, Kedayan, Bisaya, Lun Bawang, Iban, Penan dan Lun Dayeh perlu terus bersatu bagi memastikan keharmonian serta pembangunan kawasan itu dapat dikekalkan.
Beliau berkata, sokongan dan kerjasama masyarakat penting bagi memastikan pelbagai usaha pembangunan yang sedang dilaksanakan di Limbang dapat diteruskan demi manfaat rakyat.
Katanya, peningkatan hasil negeri memberi keupayaan kepada kerajaan Sarawak untuk meneruskan agenda pembangunan secara berterusan, sekali gus meningkatkan kesejahteraan masyarakat di seluruh negeri.
Foto Adeng Idrus



