Penempatan anggota ATM akan diseimbang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak

Facebook
WhatsApp
MENTERI Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Tambahan Bangunan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi di asrama pertubuhan berkenaan hari ini. Foto Bernama

KOTA TINGGI, 3 Oktober: Kerajaan akan menyusun semula penempatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak bagi mengimbangi agihan kekuatan pertahanan negara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata kerajaan menyasarkan agihan anggota ATM secara seimbang, iaitu 50 peratus ditempatkan di Semenanjung dan baki 50 peratus di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata ketika ini kira-kira dua pertiga anggota ATM ditempatkan di Semenanjung manakala satu pertiga lagi di Sabah dan Sarawak, dengan keseluruhan kira-kira 20,000 anggota pada setiap masa.

“Dari segi anggota, sekarang ini kita dua pertiga anggota ada di Semenanjung, satu pertiga anggota di Sabah, Sarawak. Pada setiap masa kita ada lebih kurang 20,000 anggota.

“Kita nak supaya kedudukan anggota itu 50 peratus di Semenanjung, 50 peratus d Sabah, Sarawak, Jadi kita nak imbang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi di sini hari ini.

Dalam pada itu, berhubung perkembangan aktiviti ketenteraan di Pulau Balabac, Filipina, yang terletak berhampiran Malaysia, beliau berkata perkara itu perlu dilihat dari sudut kesiapsiagaan dan bukan sebagai ancaman secara langsung terhadap negara.

Beliau berkata kedudukan Pulau Balabac yang strategik dan berhampiran Malaysia, meskipun kecil dari segi saiz dan geopolitik, boleh memberi kesan kepada negara sekiranya berlaku sebarang pertikaian atau pertempuran di kawasan berkenaan.

“Saya nak jelaskan, bukan kita khuatir soal peningkatan ketenteraan di Balabac. Yang saya nak tekankan ialah apabila Filipina meningkatkan pangkalan dan kehadiran tentera dan sebagainya di Balabac, oleh kerana  terlalu dekat dengan Malaysia, jika berlaku apa-apa pertikaian, pertempuran di kawasan itu yang kecil dari segi geopolitiknya, kesannya boleh melimpah ke Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata kerajaan akan meneruskan tuntutan terhadap syarikat Norway berhubung pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia.

Beliau berkata kerajaan kini menilai pilihan pengganti sistem misil antikapal NSM dari tiga negara, dengan anggaran kos antara RM700 juta hingga lebih RM1 bilion, selain perlu menyediakan peruntukan baharu bagi tujuan itu.

Mohamed Khaled berkata proses mendapatkan sistem pengganti itu perlu disegerakan memandangkan perolehan misil mengambil masa bertahun-tahun kerana ia perlu ditempah terlebih dahulu.

Kerajaan Norway sebelum ini dilaporkan membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu. Susulan itu, Malaysia telah menghantar surat tuntutan melebihi RM1 bilion kepada syarikat berkaitan dan kini menunggu maklum balas daripada kerajaan Norway. – Bernama