Ibu muda cemas ular sawa ‘tumpang’ kereta

Facebook
WhatsApp
KELIHATAN seekor ular menjalar di cermin hadapan kenderaan.

KUCHING, 3 Oktober: Seorang ibu muda berdepan detik mencemaskan kira-kira 9.00 pagi tadi apabila “penumpang” tidak diundang tiba-tiba meluncur dari bumbung keretanya ke cermin hadapan ketika dia sedang memandu.

Ibu berkenaan ketika itu sedang menghantar tiga anaknya dari rumah mereka di Jalan Semaba ke kelas tuisyen di Jalan Wan Alwi apabila ular sawa berkenaan tiba-tiba muncul dari bahagian tempat duduk pemandu.

Dia kemudian menjerit meminta anak lelakinya yang masih remaja menghubungi talian kecemasan 999, sebelum anaknya menasihatinya supaya memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan membiarkan ular berkenaan turun sementara menunggu bantuan tiba.

Bagaimanapun, wanita berkenaan ketika itu berada di tengah jalan dan tidak dapat memberhentikan kenderaan dengan selamat, menyebabkan dia terpaksa memperlahankan kenderaan sebelum meneruskan perjalanan.

Selepas kira-kira lima minit yang mencemaskan, ular sawa berkenaan akhirnya menghilang dari cermin hadapan kenderaan.

Ibu berkenaan mengesyaki ular itu mungkin sedang berehat di atas bumbung keretanya sebelum terkejut akibat permukaan jalan yang tidak rata serta pergerakan kenderaan.

Dia percaya ular itu mungkin datang dari kawasan hutan berhampiran rumahnya, sambil menyatakan cuaca panas dan keadaan berjerebu sejak kebelakangan ini menyebabkan lebih banyak haiwan perosak muncul di sekitar kawasan kejiranannya.

Oleh Connie Chieng