23 paket disyaki syabu dirampas, lelaki ditahan di Bintangor

Facebook
WhatsApp
SUSPEK ditangkap oleh pihak polis semalam. Foto IPD Meradong

BINTANGOR: Polis merampas 23 paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine (syabu) seberat keseluruhan 16 gram dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Sing Hiong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, serbuan kira-kira 5.20 petang itu dilakukan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 51 tahun turut ditahan dalam serbuan berkenaan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti berkaitan dadah.

“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai 23 paket plastik lutsinar yang masing-masing mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine (syabu) di dalam sebuah beg kecil berzip berwarna merah yang diletakkan di atas meja di tempat suspek ditahan.

“Berat keseluruhan dadah yang dirampas adalah 16 gram,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, suspek kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong untuk tindakan lanjut.

“Saringan ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek di pejabat BSJND Meradong mendapati suspek negatif dadah,” katanya.

Menurutnya, semakan rekod lampau turut mendapati suspek mempunyai satu rekod berkaitan kesalahan dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara selama tidak kurang daripada dua tahun tetapi tidak melebihi lima tahun dan hendaklah juga dihukum sebatan tidak kurang daripada tiga kali tetapi tidak melebihi sembilan kali,” katanya.

Tansli menegaskan IPD Meradong memandang serius sebarang kegiatan berkaitan dadah dan tidak akan berkompromi terhadap kesalahan berkenaan.

Beliau turut menggesa masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong kepada pihak polis.

“Maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” katanya.

Oleh Earl Anek