JULAU: Sebanyak RM56,000 disalurkan bagi memenuhi pelbagai keperluan komuniti luar bandar di Parlimen Julau, termasuk kerja menaik taraf kemudahan, penyediaan peralatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta sokongan terhadap aktiviti masyarakat.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, penyaluran bantuan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan keperluan masyarakat, khususnya komuniti luar bandar, terus mendapat perhatian.
Katanya, bantuan berkenaan disalurkan kepada beberapa rumah panjang dan organisasi masyarakat bagi memenuhi keperluan serta menyokong pelaksanaan aktiviti komuniti.
“Walaupun saya bukan sebahagian daripada kerajaan negeri, ia tidak menghalang saya untuk terus membantu dan bekerjasama demi kesejahteraan komuniti, memandangkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak kini bekerjasama dalam membangunkan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program ‘Begulai enggau Rayat’ di Rumah Selina, Sungai Tapang, baru-baru ini.
Antara penerima ialah Rumah Selina Michael Kendawang di Sungai Tapang Bayong yang menerima bantuan bagi pemasangan jubin rumah, manakala Rumah Empin Assom di Sungai Bayong menerima bantuan untuk kerja menyimen jalan di hadapan rumah panjang.
Rumah Janda di Sungai Tapang pula menerima bantuan bagi pemasangan bumbung anjung di hadapan rumah panjang, sementara Rumah Augustine Bruwin di Sungai Gerugu menerima dana untuk pembelian meja dan kerusi bagi kegunaan JKKK.
Bantuan turut disalurkan kepada Biro Wanita Rumah Selina dan Biro Wanita Rumah Augustine Bruwin bagi menyokong aktiviti masing-masing.
Selain itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Ulu Binatang menerima bantuan bagi program lawatan yang dijadualkan berlangsung pada Oktober 2026.
Larry berkata, khidmat bakti kepada masyarakat merupakan usaha berterusan yang dilaksanakan setiap tahun, termasuk menerusi bantuan secara langsung serta pendekatan di peringkat akar umbi.
“Perbezaan ideologi politik tidak seharusnya mengatasi kepentingan masyarakat kerana perkara utama adalah memahami keperluan rakyat, membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi serta meningkatkan kesejahteraan mereka.
“Saya juga akan terus menyokong pelbagai inisiatif dan program kerajaan Sarawak yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat,” katanya.
Menurutnya, perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang dalam usaha membantu rakyat dan membawa pembangunan ke kawasan luar bandar.
Beliau turut berharap semangat kerjasama antara kerajaan dapat terus dimanfaatkan dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Oleh Earl Anek




