BINTANGOR: Keupayaan anggota bomba melaksanakan operasi menyelamat dalam ruang terkurung terus dipertingkat menerusi latihan khusus yang menekankan kemahiran penggunaan sistem takal, alat bantuan pernafasan serta teknik menurunkan penyelamat dan menaikkan mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, latihan teknik menyelamat dalam ruang terkurung itu dilaksanakan bermula 10.30 pagi, semalam.
“Latihan melibatkan saya bersama enam anggota bomba sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kemahiran dan kesiapsiagaan ketika berdepan operasi menyelamat yang memerlukan teknik khusus.
“Antara pengisian latihan ialah pengukuhan ikatan menyelamat, penggunaan sistem takal, latihan penggunaan alat bantuan pernafasan (BA) dan penilaian risiko,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, anggota bomba turut menjalani latihan berkaitan teknik menurunkan penyelamat ke ruang terkurung dan menaikkan mangsa menggunakan kaedah serta peralatan yang bersesuaian.
“Penilaian risiko menjadi antara komponen penting dalam latihan bagi membolehkan anggota bomba mengenal pasti potensi bahaya sebelum sesuatu tindakan menyelamat dilaksanakan.
“Penggunaan sistem takal dan pengukuhan ikatan menyelamat pula memberi pendedahan praktikal kepada anggota bomba mengenai pengendalian peralatan yang diperlukan ketika membawa keluar mangsa dari ruang terkurung,” katanya.
Katanya, latihan penggunaan alat bantuan pernafasan turut dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan anggota mengendalikan peralatan tersebut ketika beroperasi dalam keadaan yang memerlukannya.
“Latihan berjalan lancar dan berjaya mencapai pengisian yang ditetapkan dalam usaha memastikan anggota bomba sentiasa bersedia melaksanakan tugas menyelamat apabila diperlukan,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek



