Tiga warga asing dipenjara kerana ceroboh Rizab Semulajadi Matang

Facebook
WhatsApp
TIGA warganegara asing ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuching bagi menjalani hukuman selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan berkaitan pencerobohan Rizab Semulajadi Matang. Foto SFC

PETRA JAYA: Tiga warganegara asing dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen Kuching selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan berkaitan pencerobohan dan kesalahan hidupan liar di Rizab Semulajadi Matang.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26(a), 26(b), 26(c) dan 26(f) Ordinan Taman Negara dan Rizab Semula Jadi, 1998, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574), serta Seksyen 32(2) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama, enam bulan bagi pertuduhan kedua dan enam bulan bagi pertuduhan ketiga.

Bagi pertuduhan keempat, setiap tertuduh dihukum penjara 10 bulan, manakala pertuduhan kelima membawa hukuman penjara lima bulan serta denda RM1,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.

Pengurus Besar Perbadanan Hutan Sarawak Abang Arabi Abang Aimran, berkata SFC tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan ke kawasan terlindung sepenuhnya.

Beliau yang juga Pengawal (Controller) Hidupan Liar Sarawak berkata, mana-mana individu yang memasuki atau menjalankan aktiviti dilarang tanpa kebenaran sah adalah tertakluk kepada tindakan undang-undang.

“Kawasan terlindung sepenuhnya diwujudkan bagi memastikan khazanah biodiversiti Sarawak, termasuk habitat hidupan liar dan ekosistem semula jadi, terus dipelihara dan dilindungi untuk generasi akan datang,” katanya.

Menurutnya, penguatkuasaan dan pemantauan akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi mencegah pencerobohan, mengesan aktiviti menyalahi undang-undang serta memastikan integriti kawasan terlindung sentiasa terpelihara.

Beliau berkata kes berkenaan turut menunjukkan tindakan penguatkuasaan tidak terhad kepada rakyat tempatan, sebaliknya mana-mana individu termasuk warganegara asing yang melakukan kesalahan di kawasan terlindung sepenuhnya Sarawak tetap tertakluk kepada undang-undang.

Rizab Semulajadi Matang merupakan antara kawasan penting bagi pemuliharaan biodiversiti Sarawak dan diuruskan oleh SFC.

Sebarang kemasukan atau aktiviti dalam kawasan rizab berkenaan tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

SFC turut menggalakkan orang awam menyalurkan maklumat sekiranya mempunyai maklumat berkaitan pencerobohan atau aktiviti mencurigakan di kawasan terlindung sepenuhnya.

Oleh Afiq Sallehi