MIRI: Usaha memperkukuh keselamatan warga sekolah di Parlimen Miri diteruskan apabila pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di Sekolah Kebangsaan (SK) Riam Batu 2 kini selesai sepenuhnya.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, pemasangan CCTV berkenaan merupakan sebahagian daripada projek berterusan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P.219 Miri sejak tahun lalu bagi membantu mencegah kejadian buli dan insiden tidak diingini di sekolah.
Beliau berkata demikian selepas meninjau sendiri sistem CCTV yang dipasang di sekitar kawasan sekolah itu baru-baru ini.
Dalam lawatan berkenaan, Guru Besar SK Riam Batu 2, Zahirul Jazmi Sayom Abdullah turut menunjukkan lokasi kamera yang dipasang, termasuk kawasan sekolah yang lebih terpencil bagi memudahkan pemantauan.
Menurut Chiew, sebanyak 11 sekolah lain turut menerima pemasangan CCTV di bawah inisiatif berkenaan bagi tahun ini.
“Usaha ini penting bagi mencegah sebarang insiden yang tidak diingini serta memberi ketenangan kepada ibu bapa dan guru.
“Matlamat kita adalah untuk memastikan setiap sekolah di Miri mempunyai tahap keselamatan yang baik demi masa depan anak-anak. Kita akan meneruskan projek ini bagi memastikan sekolah-sekolah di Miri dilengkapi CCTV demi keselamatan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, pemasangan CCTV di sekolah dapat membantu pihak pengurusan memantau kawasan sekolah dengan lebih menyeluruh selain melindungi pelajar dan warga pendidik.
Chiew turut berharap kerjasama antara pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat terus diperkukuhkan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan terkawal.
Oleh Liong Chai Ling





