Amanah Saham Sarawak beri amaran akaun Facebook palsu

Facebook
WhatsApp
AMANAH Saham Sarawak beri amaran akaun Facebook palsu

KUCHING: Amanah Saham Sarawak Berhad (ASSAR) memberi amaran kepada orang ramai supaya berwaspada terhadap kewujudan akaun Facebook palsu menggunakan nama dan identiti organisasi itu bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Menerusi kenyataan di media sosial, ASSAR memaklumkan akaun bernama ‘ASSAR Amanah’ yang menggunakan identiti berkaitan ASSAR adalah tidak mempunyai kaitan dengan organisasi berkenaan.

ASSAR menegaskan akaun Facebook rasmi mereka ialah Amanah Saham Sarawak Berhad, dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak berinteraksi, memberikan maklumat peribadi atau melakukan sebarang transaksi melalui akaun yang mencurigakan atau tidak rasmi.

“‘ASSAR Amanah’ bukan akaun rasmi kami. Akaun Facebook rasmi kami ialah Amanah Saham Sarawak Berhad.

“Jangan berinteraksi dengan, memberikan maklumat peribadi atau melakukan sebarang transaksi melalui akaun yang mencurigakan atau tidak rasmi,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, orang ramai yang menemui akaun palsu berkenaan diminta membantu melaporkannya kepada pihak Facebook bagi mengelakkan pengguna lain menjadi mangsa.

ASSAR turut berkongsi panduan langkah demi langkah kepada orang ramai untuk membuat laporan terhadap akaun palsu berkenaan di Facebook, termasuk memilih kategori “Fake Page” dan mengenal pasti halaman rasmi yang cuba ditiru.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menyemak saluran rasmi ASSAR sebelum membuat sebarang urusan berkaitan pelaburan atau memberikan maklumat peribadi.