KUCHING: Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia Sarawak (PVTLDMS) terus memperkukuh hubungan strategik bersama pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi kunjungan hormat ke Pejabat Pegawai Wakil Tentera Laut (PWTL) Kuching, hari ini.
Kunjungan itu menjadi platform penting bagi mempererat kerjasama dalam aspek kebajikan veteran serta pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan bersama komuniti veteran TLDM di Sarawak.
PWTL Kuching diketuai Leftenan Komander TLDM Izuan Mat Husin selaku Pegawai Memerintah PWTL dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut (PSSTL) Kuching.
Dalam kunjungan berkenaan, PVTLDMS turut memperkenalkan barisan kepimpinan baharu bagi sesi 2026 hingga 2029, selain menyampaikan taklimat mengenai latar belakang, struktur organisasi, keahlian serta peranan persatuan dalam memperjuangkan kebajikan veteran TLDM.
Izuan merakamkan penghargaan kepada PVTLDMS atas kunjungan tersebut dan memberi jaminan bahawa pihak PWTL Kuching akan sedaya upaya membantu serta memberikan kerjasama dalam perkara berkaitan kebajikan veteran dan aktiviti kemasyarakatan.
“Terima kasih atas kunjungan hormat yang diadakan. Pihak kami akan sedaya upaya membantu dan memberikan kerjasama, khususnya dalam aspek kebajikan serta aktiviti kemasyarakatan bersama para veteran,” katanya.
Sementara itu, Presiden PVTLDMS, Komander TLDM (B) Sudin Wa berkata, persatuan berkenaan merupakan pertubuhan yang sah dan berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM).
Bagi sesi 2026 hingga 2029, Sudin menerajui PVTLDMS sebagai Presiden, dibantu Pegawai Waran I (B) Hanis Chong sebagai Timbalan Presiden, manakala Pegawai Waran II (B) Kundai Dugi dan Pegawai Waran II (B) Adam James Taiyai masing-masing sebagai Naib Presiden 1 dan Naib Presiden 2.
PVTLDMS turut mempunyai 12 Ketua Zon yang mewakili bahagian dan daerah di Sarawak serta dua Ahli Jawatankuasa Agama bagi menguruskan hal ehwal agama Islam dan bukan Islam.
Menurut Sudin, antara matlamat utama persatuan adalah menjadi badan induk yang mewakili veteran TLDM di Sarawak, selain berperanan sebagai pusat informasi berkaitan kebajikan dan tuntutan veteran.
Katanya, isu kebajikan serta tuntutan ahli akan dikenal pasti dan diselaraskan sebelum dikemukakan kepada pihak berkaitan termasuk JHEV ATM dan kerajaan Sarawak.
“PVTLDMS juga melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi nilai tambah kepada ahli, termasuk lawatan kebajikan, aktiviti sukan, kegiatan keagamaan dan program kemasyarakatan,” katanya.
PVTLDMS kini mempunyai kira-kira 520 ahli terdiri daripada veteran TLDM daripada pelbagai generasi dan mewakili seluruh bahagian di Sarawak.
Kunjungan itu diharap dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara PVTLDMS dan TLDM, sekali gus memastikan aspek kebajikan, penyampaian maklumat serta aktiviti kemasyarakatan untuk komuniti veteran TLDM di Sarawak dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan. Oleh Adi Safarman





