Tiga projek baharu bernilai lebih RM1 juta bakal diperkasa di DUN Kabong

Facebook
WhatsApp
DATO Mohd Chee Kadir semasa menghadiri lawatan tapak dan penyelarasan projek baharu BDDA bagi DUN Kabong yang diadakan di sekitar Nyabor dan Kabong, hari ini. Foto: ADUN Kabong

KABONG: Tiga projek baharu melibatkan kemudahan awam, infrastruktur sukan dan keperluan masyarakat setempat bakal dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, projek berkenaan antara tumpuan utama dalam lawatan tapak dan penyelarasan projek baharu Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi DUN Kabong yang berlangsung di sekitar Nyabor dan Kabong, hari ini.

Menurutnya, projek pertama ialah cadangan pemasangan lampu isyarat trafik di Jalan Kabong/Jalan Krian – Q734 Jalan Nyabor dengan siling projek sebanyak RM450,000.

“Projek ini dilaksanakan oleh Majlis Daerah Saratok (MDS), manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) merupakan agensi pemilik,” katanya.

Beliau berkata, projek kedua pula membabitkan naik taraf Gelanggang Petanque di Pantai Tanjung Kembang Kabong dengan siling peruntukan sebanyak RM187,077, yang mana MDS bertindak sebagai agensi pelaksana dan pemilik.

“Projek ketiga ialah naik taraf kemudahan dan infrastruktur Tanah Perkuburan Islam Kabong dengan siling projek sebanyak RM400,000, dilaksanakan oleh MDS dengan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK) sebagai agensi pemilik,” katanya.

Chee Kadir berkata, keseluruhan projek berkenaan melibatkan siling peruntukan berjumlah RM1.037 juta dan dijangka memberi manfaat kepada penduduk setempat, khususnya dalam aspek keselamatan, kemudahan rekreasi serta pengurusan tanah perkuburan.

Katanya, lawatan tapak itu turut menjadi platform penting untuk memperkukuh penyelarasan antara agensi pelaksana, agensi pemilik dan pihak berkaitan bagi memastikan setiap projek dirancang serta dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar di lapangan.

“Lawatan ini bertujuan meninjau keadaan semasa tapak, membincangkan kesesuaian dan keperluan projek serta menyelaras tindakan awal supaya pelaksanaan dapat berjalan dengan teratur,” katanya.

Chee Kadir turut merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kelulusan projek-projek baharu berkenaan yang disifatkan penting dalam memenuhi keperluan pembangunan di kawasan DUN Kabong.

Beliau berharap semua agensi terlibat dapat memberikan kerjasama serta mengambil tindakan susulan sewajarnya agar projek berkenaan dapat dilaksanakan mengikut perancangan dan jadual ditetapkan, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.

Turut hadir Pemangku Pegawai Daerah Kabong, wakil Setiausaha MDS, wakil Jurutera Bahagian JKR Betong, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong, Pegawai Tadbir Agama Islam Bahagian Betong, Pengerusi LAKIK serta penghulu-penghulu kampung yang terlibat.

Oleh Adi Safarman

Buaya 4.75 meter ditangkap di Marudi

MIRI: Seekor buaya besar berukuran  lebih empat meter  berjaya ditangkap Team Eric Cat dengan kerjasama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dalam