LIMBANG: Pemerkasaan sektor pendidikan di Sarawak antara isu utama yang terus diperjuangkan menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang diadakan di Sabah baru-baru ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata perkara itu merangkumi usaha mempertingkatkan prasarana pendidikan serta memperluas penglibatan Sarawak dalam aspek pentadbiran dan pembangunan pendidikan.
“Dalam mesyuarat MTPMA63 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah, saya telah menyuarakan keperluan pembangunan pendidikan di Sarawak.
“Saya menyentuh tentang keperluan untuk mempertingkatkan infrastruktur pendidikan dengan menambah baik fasiliti dan kemudahan, selain memberi peluang kepada pegawai-pegawai kita.
“Saya juga menyentuh tentang perjawatan. Bayangkan negeri Sarawak ini sebuah negeri yang begitu besar dan kita tidak mahu Sarawak dibandingkan dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia yang kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Pesta Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran (PSKPP) Negeri Sarawak Kali Ke-44 Tahun 2026 bagi daerah Limbang dan Lawas di Dewan Suarah Limbang, malam tadi.
Awang Tengah berkata pengambilan pegawai serta struktur perjawatan perlu mengambil kira keadaan sebenar Sarawak, termasuk keluasan negeri dan keperluan di setiap kawasan.
Katanya, Sarawak turut menyuarakan kepentingan memberikan kuasa kepada Pengarah Pendidikan Sarawak untuk melaksanakan perkara-perkara strategik berkaitan pendidikan di negeri ini.
Beliau berkata Sarawak juga meminta supaya diberikan sedikit fleksibiliti dalam penggunaan bahasa selain Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, khususnya bagi menyokong pembangunan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta bidang berkaitan.
Menurutnya, pendidikan merupakan antara perkara berkaitan MA63 yang telah melalui proses rundingan dan sebahagiannya telah dipersetujui, termasuk penglibatan lebih besar kerajaan negeri dalam perancangan keperluan pendidikan.
“Pada mesyuarat itu, banyak perkara telah dapat diselesaikan dan hak serta kepentingan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 akan terus diperjuangkan,” katanya.




