Festival Padawan Discovery buka peluang ekonomi, perkukuh pelancongan tempatan

Facebook
WhatsApp
AMANAT… Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyampaikan amanat pada majlis perasmian Festival Padawan Discovery 2026 di Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho, Padawan, hari ini. Foto Norman B

PADAWAN: Festival Padawan Discovery 2026 diharap bukan sekadar menjadi acara tahunan, sebaliknya mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi, pelancongan dan pembangunan komuniti kepada penduduk setempat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, Padawan mempunyai kekuatan tersendiri dari aspek identiti, komuniti, warisan, alam semula jadi, potensi pelancongan serta kegiatan ekonomi yang semakin berkembang.

Dr Sim berkata, festival berkenaan menyediakan platform untuk menggabungkan semua kekuatan itu dan memperkenalkan Padawan secara lebih tersusun serta bermakna kepada masyarakat tempatan dan pengunjung.

KENANGAN…Datuk Amar Dr Sim Kui Hian merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat dan para hadirin pada Majlis Perasmian Festival Padawan Discovery 2026, hari ini. Foto Norman B

“Nilai festival ini harus melangkaui penganjurannya semata-mata. Ia perlu mewujudkan peluang kepada perniagaan tempatan, pengusaha pelancongan, usahawan, pertubuhan komuniti dan golongan muda untuk berhubung, bekerjasama serta membina sesuatu yang boleh diteruskan selepas festival.

“Padawan bukan sekadar kawasan pentadbiran di sekitar Kuching, tetapi mempunyai identiti, komuniti, warisan, alam semula jadi, potensi pelancongan dan kegiatan ekonominya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Festival Padawan Discovery 2026 di Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho, di sini, hari ini.

Katanya, penganjuran Pameran Perdagangan Sarawak 2026 dengan kerjasama Persatuan Pengilang Sarawak (SMA) turut menghimpunkan pelbagai perniagaan, usahawan dan pempamer termasuk peserta dari bandar persahabatan Majlis Perbandaran Padawan (MPP).

LAWATAN… Datuk Amar Dr Sim Kui Hian ketika melawat reruai pameran Ann Baker pada Festival Padawan Discovery 2026, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Sim berkata, Sarawak mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan khususnya di kawasan yang menggabungkan kekayaan alam semula jadi, budaya dan pengalaman komuniti.

Menurutnya, Padawan memiliki banyak kelebihan berkenaan dan cabaran seterusnya adalah untuk menterjemahkan kekuatan tersebut kepada pengalaman pelancongan yang bermakna serta peluang ekonomi mampan kepada masyarakat setempat.

“Usahawan tempatan, pengeluar makanan, pengusaha pelancongan, penggiat kraftangan dan perniagaan berasaskan komuniti perlu menjadi sebahagian daripada pembangunan ini.

“Festival seperti ini boleh menjadi platform untuk mereka memperkenalkan produk dan perkhidmatan, bertemu pelanggan baharu, membina jaringan serta meneroka peluang baharu,” katanya.

Pada masa sama, beliau mahu pengunjung digalakkan meneroka kawasan di luar tapak festival bagi mengenali komuniti, tarikan dan destinasi lain yang terdapat di seluruh Padawan.

MESRA…Datuk Amar Dr Sim Kui Hian beramah mesra bersama pempamer ketika mengunjungi salah satu reruai pada Festival Padawan Discovery 2026, hari ini.

Menyentuh aspek kebudayaan, beliau berkata, kekuatan Sarawak terletak pada kepelbagaian masyarakatnya, selaras dengan semangat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan keterangkuman dalam agenda pembangunan.

Katanya, budaya dan tradisi bukan sekadar untuk dipamerkan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada identiti rakyat Sarawak yang perlu dipelihara, dihormati serta diwariskan kepada generasi akan datang.

Menurutnya, penyertaan golongan muda juga penting kerana peluang untuk terlibat dalam persembahan, penganjuran dan aktiviti masyarakat membolehkan mereka memainkan peranan dalam memelihara serta meneruskan warisan tempatan.

Dalam perkembangan sama, Dr Sim turut mengalu-alukan penyertaan wakil dan pempamer dari bandar persahabatan MPP iaitu Yantai dan Huangshi, China.

PAMERAN…Pelbagai hasil kraf tangan tempatan dipamerkan pada Festival Padawan Discovery 2026, hari ini. Foto Norman B

Katanya, hubungan antarabangsa dan antara bandar akan lebih bermakna apabila mampu mewujudkan hubungan antara rakyat, penglibatan perniagaan, pertukaran budaya serta kerjasama secara praktikal.

Sehubungan itu, beliau berharap pengalaman daripada penganjuran sulung Festival Padawan Discovery dapat dijadikan asas kepada MPP untuk terus menambah baik dan memperkukuh festival berkenaan pada masa akan datang.

“Apabila festival ini terus berkembang pada tahun-tahun akan datang, saya berharap ia mampu menarik lebih ramai pengunjung, melibatkan lebih banyak perniagaan dan komuniti tempatan, membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda serta memperkukuh kedudukan Padawan sebagai destinasi menarik di Sarawak.

“Paling penting, saya berharap manfaat yang dijana menerusi festival ini dapat sampai kepada komuniti di Padawan,” katanya.

Beliau turut menggesa MPP meneruskan kerjasama rapat dengan kementerian dan agensi kerajaan berkaitan, sektor swasta, industri pelancongan, pertubuhan masyarakat, pemimpin komuniti serta penduduk setempat bagi memastikan pembangunan Padawan dilaksanakan secara inklusif dan mampan.

Oleh Norman B