KUCHING: Dendam lama, rahsia yang cuba disembunyikan serta gangguan misteri kembali menghantui Kampung Margasatwa menerusi telefilem Pitenah 2: Kemelut Margasatwa yang bakal ditayangkan hari ini.
Selepas mencuri perhatian menerusi telefilem Pitenah, Smangko Production kembali dengan kesinambungan naskhah berkenaan yang mengetengahkan elemen konflik, misteri, seram, dendam dan kifarah.

Diarahkan Gizri Azif, telefilem itu mengisahkan Kampung Margasatwa, sebuah perkampungan terpencil yang pada awalnya hidup dalam suasana tenang sebelum diganggu pelbagai kejadian aneh, termasuk gangguan mistik dan penyakit misteri.
Keadaan menjadi semakin tegang apabila berlaku perebutan kuasa untuk memimpin kampung berkenaan, sekali gus membuka kembali kisah silam yang selama ini cuba disembunyikan.

Menurut Gizri, Pitenah 2 bukan sekadar mengangkat unsur misteri dan seram, malah menyelitkan mesej moral mengenai akibat perbuatan manusia, khususnya hasad dengki, dendam dan keengganan untuk memaafkan.
“Kami mempertaruhkan 100 peratus usaha, tenaga dan kreativiti anak tempatan dalam menghasilkan karya ini, daripada garapan skrip, pembangunan watak, sinematografi hinggalah proses pascaproduksi,” katanya.
Kekuatan telefilem itu turut terletak pada konflik setiap watak yang mempunyai latar belakang dan rahsia tersendiri.
Antaranya, Mael sebagai pemimpin baharu, Roslan yang dibelenggu dendam masa lalu, Pak Amit yang menyimpan rahsia, manakala Dillah pula berdepan kehilangan.

Kemunculan Yati, watak misteri yang penuh teka-teki, turut menambahkan persoalan dan konflik dalam jalan cerita.
Setiap watak dibangunkan dengan elemen emosi bagi memastikan jalan cerita terus menarik perhatian penonton hingga ke penghujung.
Gizri berharap Pitenah 2 mendapat sambutan penonton, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada bakat seni tempatan, termasuk mereka yang terlibat di hadapan dan di belakang tabir, untuk terus berkembang dalam industri kreatif.
Pitenah 2: Kemelut Margasatwa bakal ditayangkan menerusi saluran YouTube Smangko TV hari ini.
Perkembangan terkini, termasuk trailer dan kandungan di sebalik tabir, boleh diikuti menerusi media sosial rasmi Smangko Production.
Oleh Afiq Sallehi





