Bantuan pendapatan bersasar untuk warga emas untuk perkukuh keselamatan persaraan

Facebook
WhatsApp
PERSARAAN... Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan mencadangkan bantuan pendapatan bersasar kepada warga emas berusia 70 atau 75 tahun bagi memperkukuh keselamatan persaraan. Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia wajar mempertimbangkan pemberian bantuan pendapatan bersasar kepada golongan berusia 70 atau 75 tahun dan bukannya memperkenalkan pencen sejagat pada usia yang lebih muda, kata Pengerusi Axiata Group Bhd Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan.

Beliau berkata bantuan sedemikian boleh menjadi sebahagian daripada strategi lebih menyeluruh bagi memastikan kecukupan simpanan persaraan, dengan menggabungkan simpanan individu serta bantuan awam bagi mereka yang memerlukannya.

“Sesi hari ini membincangkan mengenai kecukupan simpanan persaraan, iaitu sama ada seseorang itu mempunyai simpanan sendiri yang mencukupi atau memerlukan bantuan daripada negara mahupun kerajaan.

“Jika kita melihat kepada banyak model di luar negara, biasanya terdapat gabungan kedua-duanya. Terdapat bantuan awam dan pada masa sama, simpanan peribadi individu itu sendiri.

“Bantuan ini perlu disasarkan kepada mereka yang mencapai usia tertentu, seperti 70 atau 75 tahun, apabila mereka berkemungkinan besar telah kehabisan wang simpanan sendiri namun masih memerlukan sokongan untuk meneruskan kehidupan,” katanya kepada pemberita selepas sesi bertajuk “Perjalanan Malaysia ke Arah Persaraan Bermaruah: Adakah Kita Bersedia?”, di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2026 pada Rabu.

Beliau berpendapat bahawa pencen sejagat pada usia lebih muda mungkin tidak sesuai, namun bantuan pendapatan boleh dipertimbangkan untuk golongan berusia 70 atau 75 tahun, memandangkan simpanan persaraan mereka mungkin telah habis digunakan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RD WealthCreation Sdn Bhd, Rajen Devadason berkata usia persaraan berkanun 60 tahun mungkin perlu dikaji semula memandangkan jangka hayat rakyat Malaysia kini semakin panjang.

Semasa sesi bertajuk “Hidup Lebih Lama Daripada Jangkaan”, beliau berkata jangka hayat kini melebihi 75 tahun, bermaksud mereka yang bersara pada usia 60 tahun mungkin perlu menanggung kos kehidupan untuk tempoh sekurang-kurangnya 15 hingga lebih 20 tahun lagi.

Jangka hayat yang lebih panjang bermakna perancangan persaraan harus memberi tumpuan kepada pewujudan aliran pendapatan yang mampan dan bukannya bergantung semata-mata kepada simpanan terkumpul, katanya.

Rajen turut menganggarkan bahawa kira-kira 15.3 juta daripada 17 juta tenaga kerja Malaysia tidak akan menerima pencen kerajaan, sekali gus menekankan keperluan bagi individu untuk memikul tanggungjawab lebih besar terhadap jaminan persaraan mereka.

“Angka tersebut meningkat setiap bulan kerana penjawat awam yang dilantik selepas Januari, 2024 tidak akan menikmati skim pencen. Mereka akan diletakkan di bawah skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif D3P Global, William Price pula mencadangkan sokongan pencen awam yang lebih kukuh bermula usia 75 tahun bagi menangani kemiskinan dalam kalangan warga emas, khususnya golongan terdedah kepada risiko.

Semasa sesi bertajuk ‘Melangkaui Bayaran Sekaligus: Daripada Simpanan kepada Pendapatan Berterusan’, beliau menyatakan bahawa pendekatan itu akan memberikan sokongan pendapatan yang lebih baik apabila keupayaan individu untuk bekerja semakin berkurangan, di samping membolehkan simpanan persaraan digunakan pada peringkat awal persaraan.

“Pilihan pertama ialah mewujudkan gabungan antara sistem awam dan swasta, dengan menyediakan pencen kerajaan yang jauh lebih tinggi untuk golongan warga emas yang sangat lanjut usia, kerana itulah cara paling berkesan untuk menangani masalah kemiskinan tersebut,” katanya.

ISWC 2026, dianjurkan bersama oleh KWSP dan Kementerian Kewangan, menghimpunkan pemimpin pemikiran global, penggubal dasar, dan pakar industri untuk meneroka cara membina ekosistem persaraan yang lebih inklusif, berdaya tahan, dan bersedia menghadapi masa hadapan.

Persidangan selama dua hari itu berakhir pada Rabu, menghimpunkan para pemimpin pemikiran global, penggubal dasar, dan pakar industri untuk meneroka masa hadapan persaraan, penuaan, dan perlindungan sosial.

Berlatarbelakangkan trend penuaan penduduk di seluruh dunia, persidangan itu menggalakkan idea berani dan penyelesaian kolaboratif bagi mewujudkan ekosistem persaraan yang lebih inklusif, berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan.

Antara topik perbincangan utama termasuk memikirkan semula konsep penuaan dan jangka hayat yang lebih panjang; memperkukuh sistem persaraan, penjagaan kesihatan, dan sistem penjagaan; membina komuniti yang inklusif dan merentas generasi; serta memanfaatkan inovasi bagi menyokong masyarakat yang semakin menua. – Bernama

Donuf sasar 100 cawangan menjelang 2029

JOHOR BAHRU: Pengasas Donuf, produk gabungan donat dan pastri berkrim (creampuff) rangup, menyasarkan membuka 100 cawangan di seluruh negara menjelang