KABONG: Gara-gara ditegur selepas didakwa memasuki laluan sebuah motosikal, seorang lelaki ditahan polis hari ini selepas dipercayai memukul seorang penunggang motosikal menggunakan sebatang besi di Jalan Roban-Kabong, dekat Kampung Alit, di sini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kejadian berlaku pada 28 September lalu itu ketika mangsa sedang menunggang motosikal menuju ke Roban.
Menurutnya, sebuah Perodua Kenari yang dipandu seorang lelaki dikenali mangsa dari arah bertentangan didakwa menggunakan laluan mangsa sehingga hampir berlaku perlanggaran.
“Suspek kemudian memberhentikan kenderaan sebelum mengambil sebatang besi dari dalam kereta dan memukul bahagian kiri tangan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Kabong untuk tindakan lanjut.
Hasil siasatan, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun dari Kabong bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ujian saringan air kencing suspek didapati positif amphetamine dan methamphetamine.
Polis turut mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau, termasuk kes berkaitan dadah dan beberapa kesalahan jenayah.
Dalam tangkapan itu, polis merampas sebatang besi sepanjang kira-kira 37 sentimeter, selain sehelai baju-T berkolar hitam dan sehelai seluar jeans biru.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku menyerang mangsa menggunakan besi selepas berang ditegur kerana memasuki laluan mangsa, selain mengakui ketika kejadian berada di bawah pengaruh dadah.
“Mangsa dilaporkan cuba menahan pukulan menggunakan tangan kiri menyebabkan mengalami kecederaan pada bahagian lengan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, dan status kes kini selesai,” kata DSP Mathew.
Oleh Adi Safarman




