SIBU: Seorang pesakit yang telah meninggal dunia menyumbangkan hadiah kehidupan yang amat berharga menerusi pendermaan kornea dan buah pinggang.
Hospital Sibu menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini berkata, keputusan tanpa mementingkan diri ini berpotensi memulihkan penglihatan, membawa harapan serta memberikan peluang kedua untuk meneruskan kehidupan kepada insan lain.
Menurut Hospital Sibu, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa kagum kepada penderma serta keluarga penderma atas keberanian, keprihatinan dan kemurahan hati mereka dalam menghadapi saat yang amat sukar.
“Keprihatinan mereka mengingatkan kita bahawa walaupun dalam detik kehilangan, kita masih mampu mencipta harapan untuk orang lain,” ujar kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, pendermaan organ dan tisu merupakan antara hadiah terbesar yang boleh diberikan oleh seseorang.
“Satu keputusan mampu mengubah kehidupan, meringankan penderitaan pesakit dan memberikan harapan baharu kepada keluarga yang sedang menanti pemindahan organ.
“Semoga tindakan kemanusiaan yang begitu indah ini menjadi inspirasi kepada kita semua untuk mempertimbangkan ikrar sebagai penderma organ serta berkongsi hasrat tersebut dengan insan tersayang,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, kebaikan dan sifat tidak mementingkan diri penderma berkenaan akan sentiasa dikenang, manakala legasinya akan terus hidup menerusi kehidupan insan yang disentuh oleh pengorbanannya.
“Berikan harapan, berikan kehidupan, jadilah penderma organ”.
Oleh Akun Giman





