KUALA LUMPUR: Anak syarikat Hextar Capital Bhd iaitu Legacy Core Sdn Bhd memperoleh subkontrak bernilai RM60 juta untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf jalan bagi projek Jalan Oya (Fasa 2) di Sibu, Sarawak.
Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Hextar Capital menyatakan Legacy Core yang sebelum ini dikenali sebagai Civispace Sdn Bhd dilantik oleh Doland (M) Sdn Bhd menerusi surat lantikan bertarikh 1 Oktober, 2026 untuk melaksanakan kerja-kerja naik taraf berkenaan.
Syarikat itu memaklumkan projek itu merangkumi kerja-kerja jalan raya, sistem perparitan dan perkhidmatan pemindahan dengan kerja-kerja dijadualkan bermula pada 2 Okt, 2026 dan dijangka siap menjelang 11 Februari, 2029.
“Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2026 dan sepanjang tempoh projek berkenaan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Johnson Chang berkata pemberian subkontrak tersebut memperkukuh keberadaan Legacy Core dalam industri pembinaan serta sejajar dengan strategi kumpulan untuk meningkatkan nilai perolehan kontrak dan menjana pulangan yang mampan kepada pemegang saham.
Hextar Capital merupakan sebuah kumpulan pelbagai disiplin dengan operasi merangkumi pembuatan, perkhidmatan kejuruteraan dan perdagangan, penyelesaian infrastruktur rangkaian telekomunikasi, penjanaan selain transmisi tenaga, pembinaan dan pengurusan projek serta penyelesaian kewangan.- Bernama





