KUCHING: Pendidikan keselamatan jalan raya perlu diterapkan sejak usia muda bagi membentuk generasi yang lebih peka, berdisiplin dan bertanggungjawab ketika menggunakan jalan raya.
Usaha itu diteruskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi Ceramah dan Demonstrasi Keselamatan Jalan Raya bersama anak-anak Tabika KEMAS Tupong Ulu, hari ini.
Program melalui Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat (UKJRK) JPJ Sarawak itu diadakan susulan jemputan pihak Tabika KEMAS Tupong Ulu sebagai sebahagian usaha memberi pendedahan awal mengenai keselamatan jalan raya kepada kanak-kanak, menurut laman rasmi Facebook JPJ Sarawak.


Antara pengisian diberikan termasuk cara melintas jalan dengan selamat, penggunaan topi keledar yang betul, aspek keselamatan ketika menaiki kenderaan serta pengenalan kepada tanda dan isyarat lalu lintas.
Program advokasi seperti itu penting dalam membentuk generasi yang lebih peka terhadap keselamatan jalan raya, selain menerapkan nilai tanggungjawab dan disiplin sejak peringkat awal.
Pendekatan berkenaan turut memberi peluang kepada kanak-kanak memahami asas keselamatan jalan raya melalui penerangan dan demonstrasi yang lebih mudah difahami.
JPJ Sarawak berharap program seumpama itu dapat terus dilaksanakan bagi memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan jalan raya serta melahirkan pengguna jalan raya yang lebih berhemah dan bertanggungjawab.
Oleh Afiq Sallehi





