Motif tidak cerminkan identiti Sarawak di lapangan terbang akan diteliti – Abdul Karim

Facebook
WhatsApp
MOTIF pada latar belakang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang tidak mencerminkan identiti Sarawak.

PETRA JAYA: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah akan meneliti penggunaan motif pada latar belakang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang didakwa tidak mencerminkan identiti budaya Sarawak.

Beliau berkata, perkara itu perlu dilihat terlebih dahulu bagi mengenal pasti pihak yang memasang reka bentuk berkenaan, selepas ia mendapat perhatian di media sosial.

“Saya akan lihat perkara itu, tetapi saya perlu melihat sumbernya, siapa yang meletakkannya. Tetapi terima kasih kerana mengetengahkan perkara ini dan saya bersetuju jika ia tidak mencerminkan budaya dan warisan kita, ia patut digantikan dengan yang betul,” katanya.

MOTIF yang digunakan sebagai latar belakang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Jawatankuasa Induk Regata Sarawak dan Majlis Penyerahan Cek Penaja di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.

Menurut Abdul Karim, berdasarkan gambar reka bentuk yang dikongsikan di media sosial, motif yang digunakan dilihat mempunyai unsur yang tidak benar-benar mencerminkan motif asli Sarawak.

“Sewaktu saya melihat gambar yang ditunjukkan di media sosial, memang betul, motif yang ditunjukkan itu adalah AI dan bukannya motif asli, serta tidak benar-benar mencerminkan motif Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, aspek identiti budaya perlu diberi perhatian khusus memandangkan lapangan terbang menjadi antara lokasi pertama yang memberikan gambaran kepada pelawat mengenai Sarawak.

MENTERI Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika sidang media Jawatankuasa Induk Regata Sarawak dan Majlis Penyerahan Cek Penaja di Bangunan Baitulmakmur II hari ini.

Katanya, penggunaan sesuatu motif yang dikaitkan dengan Sarawak tetapi sebenarnya tidak mewakili warisan tempatan boleh mengelirukan pengunjung yang datang ke negeri ini.

“Saya akan lihat perkara itu. Jika ia tidak mencerminkan kita, saya rasa tidak wajar kita memperdayakan mereka yang datang ke sini. Ini motif kita, gambar kita, sedangkan ia datang dari tempat lain atau bukan yang asli,” katanya.

Abdul Karim berkata, pihaknya juga akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap pemasangan latar belakang berkenaan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Beliau turut mengakui kepentingan memastikan elemen seni dan budaya yang dipamerkan di ruang awam benar-benar menggambarkan identiti Sarawak, khususnya di lokasi yang menjadi pintu masuk utama pelancong.

Oleh Shahrul Qaizat