Regata Sarawak 2026: Gagal pakai jaket keselamatan, peserta boleh disingkirkan

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika sidang media Jawatankuasa Induk Regata Sarawak dan Majlis Penyerahan Cek Penaja di Bangunan Baitulmakmur II, di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA: Peserta yang gagal mematuhi peraturan pemakaian jaket keselamatan dalam mana-mana acara perlumbaan Regata Sarawak 2026 boleh disingkirkan daripada pertandingan, dengan peraturan keselamatan itu dikekalkan seperti penganjuran tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penggunaan jaket keselamatan adalah wajib bagi semua perlumbaan bagi memastikan keselamatan peserta sepanjang pertandingan yang berlangsung di perairan Tebingan Kuching.

Menurutnya, peserta juga perlu menggunakan jaket keselamatan yang memenuhi spesifikasi ditetapkan dan bukan sekadar menggunakan jaket keselamatan berbentuk tali pinggang atau jenis yang tidak memenuhi keperluan keselamatan.

“Penggunaan jaket keselamatan diwajibkan untuk semua perlumbaan. Ada jenis jaket yang hanya boleh digunakan, bukan jaket yang kecil sahaja macam tali pinggang. Jadi, sesiapa yang mengisi borang dan akan terlibat, mereka mesti mematuhi peraturan wajib,” katanya pada sidang media Jawatankuasa Induk Regata Sarawak dan Majlis Penyerahan Cek Penaja di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.

Katanya, mana-mana peserta atau perahu yang didapati tidak menggunakan jaket keselamatan seperti ditetapkan boleh dikenakan tindakan termasuk disingkirkan daripada perlumbaan.

“Siapa-siapa yang tidak mematuhi ataupun mana-mana perlumbaan di mana perahu ataupun pendayungnya tidak menggunakan jaket, mereka akan disingkirkan,” katanya.

Penganjur pasukan bertanggungjawab memastikan semua peserta mematuhi keperluan berkenaan, manakala pihak Lembaga Sungai-Sungai Sarawak boleh membatalkan penyertaan sekiranya peserta gagal mematuhi peraturan keselamatan.

Untuk rekod, Regata Sarawak 2026 berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November, membabitkan 18 acara perlumbaan dalam kategori tempatan dan terbuka.

Pendaftaran penyertaan dibuka pada 1 September lalu melalui laman sesawang Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, dengan 370 penyertaan direkodkan setakat 1 Oktober. Pendaftaran akan ditutup pada 15 Oktober, 12.00 tengah hari.

Oleh Shahrul Qaizat