PETRA JAYA: Jumlah hadiah wang tunai keseluruhan bagi pertandingan perahu naga sempena Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2026 meningkat dua kali ganda kepada RM200,000, berbanding RM100,000 pada penganjuran tahun lalu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peningkatan jumlah hadiah wang tunai itu antara tarikan utama bagi edisi ke-12 pertandingan berkenaan yang dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober ini di Tebingan Kuching.
Katanya, jumlah RM200,000 itu merupakan keseluruhan hadiah wang tunai yang ditawarkan untuk pertandingan perahu naga, dan bukan jumlah hadiah bagi satu kategori atau satu pemenang sahaja.
“Jumlah hadiah wang tunai keseluruhan untuk perahu naga sahaja RM200,000. Tahun lepas hanya RM100,000, jadi penganjur telah menaikkannya kepada RM200,000,” katanya pada sidang media Jawatankuasa Induk Regata Sarawak dan Majlis Penyerahan Cek Penaja di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.

Untuk rekod, pertandingan perahu naga antarabangsa pada 2025 menawarkan jumlah hadiah wang tunai keseluruhan RM100,000, selain piala dan pingat kepada pemenang.
Peningkatan sebanyak RM100,000 itu bermakna jumlah hadiah wang tunai keseluruhan bagi pertandingan tahun ini meningkat 100 peratus berbanding edisi sebelumnya.
Abdul Karim berkata, penambahan jumlah hadiah itu dijangka memberikan dorongan kepada lebih banyak pasukan untuk menyertai pertandingan berkenaan, selain meningkatkan daya tarikan Sarawak sebagai lokasi penganjuran pertandingan perahu naga bertaraf antarabangsa.
Menurutnya, pertandingan tahun ini merekodkan penyertaan 80 pasukan dari 22 negara dengan jumlah keseluruhan kira-kira 2,450 peserta.
Katanya, tujuh kategori dipertandingkan pada edisi kali ini, termasuk Terbuka Perdana Antarabangsa 20, Terbuka Perdana Antarabangsa 12, Campuran Perdana Antarabangsa 20, Wanita Perdana Antarabangsa 12, Terbuka Senior B Antarabangsa 12, Peserta Kanser Antarabangsa 12 dan Lelaki Terbuka Malaysia 12.
Selain itu, penyertaan tahun ini turut menyaksikan kehadiran beberapa negara baharu termasuk Liechtenstein, Vietnam, Kemboja, Argentina, Fiji, Moldova dan Mexico, sekali gus menambah kepelbagaian penyertaan antarabangsa dalam pertandingan berkenaan.
Abdul Karim berkata, satu kategori baharu melibatkan peserta berusia 50 tahun ke atas turut diperkenalkan tahun ini, memberikan peluang kepada lebih banyak golongan untuk mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
Pertandingan perahu naga itu merupakan antara acara utama dalam penganjuran Regata Sarawak – Pesta Tebingan Kuching 2026 yang berlangsung dari 23 Oktober hingga 1 November ini.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan sumbangan penajaan berjumlah RM985,000 daripada beberapa syarikat berkaitan industri minyak dan gas, tenaga, pembangunan serta sektor korporat bagi menyokong penganjuran Sarawak Regata.
Antara penyumbang utama ialah Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan Petroleum Nasional Berhad (Petronas) yang masing-masing menyumbang RM300,000, diikuti Sarawak Energy Berhad sebanyak RM100,000.
Sumbangan turut diterima daripada ENEOS Xplora Malaysia Limited, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Petra Energy Berhad dan Ta Ann Holdings Berhad, masing-masing sebanyak RM50,000.
Selain itu, SARAworks Sdn. Bhd. menyumbang RM20,000, manakala KTS Mutual Sdn Bhd dan Borneo Housing Mortgage Finance Berhad masing-masing menyumbang RM10,000 dan RM5,000 sebagai penaja bersama.
Keseluruhan sumbangan penajaan berkenaan merupakan antara bentuk sokongan sektor korporat terhadap penganjuran Regata Sarawak– Pesta Tebingan Kuching 2026 yang berlangsung dari 23 Oktober hingga 1 November, membabitkan pelbagai acara sukan, kebudayaan, kraftangan dan aktiviti hiburan di sekitar Tebingan Kuching.
Oleh Shahrul Qaizat





