248 lampu solar diserah kepada 82 penerima di DUN Krian

Facebook
WhatsApp
FRIDAY Belik ketika menghadiri majlis ringkas penyerahan projek lampu solar di Dewan Rumah Dayak, hari ini. Foto ADUN Krian

SARATOK: Sebanyak 248 unit lampu solar diserahkan kepada 82 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian menerusi Projek Pemberian Lampu Solar di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) Fasa 2 2025/2026.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, penerima projek berkenaan terdiri daripada sebuah sekolah rendah, dua buah gereja dan 79 buah rumah panjang.

Menurutnya, projek tersebut dilaksanakan bagi membantu meningkatkan kemudahan pencahayaan di kawasan komuniti, khususnya di kawasan rumah panjang yang memerlukan kemudahan berkenaan.

“Sebanyak 248 unit lampu solar telah disediakan untuk 82 penerima pada Fasa 2 ini,” katanya ketika menghadiri majlis ringkas penyerahan projek lampu solar di Dewan Rumah Dayak, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan Fasa 2 itu meneruskan usaha yang telah dimulakan pada tahun 2025 menerusi Fasa 1 dengan penyaluran sebanyak 196 unit lampu solar kepada 65 buah rumah panjang.

“Dengan pelaksanaan Fasa 1 dan Fasa 2, keseluruhannya sebanyak 444 unit lampu solar telah diberikan kepada 147 penerima di kawasan DUN Krian,” katanya.

Friday berkata, kemudahan lampu solar tersebut amat berguna untuk menerangi kawasan rumah panjang, terutama pada waktu malam, selain memberikan keselesaan kepada penduduk.

Katanya, pencahayaan yang lebih baik juga dapat membantu meningkatkan aspek keselamatan penduduk serta memudahkan pergerakan masyarakat di sekitar kawasan kediaman masing-masing.

Beliau berharap kemudahan yang disalurkan melalui projek berkenaan dapat dimanfaatkan dan dijaga dengan sebaiknya oleh penerima demi kepentingan komuniti, sekali gus menyokong usaha meningkatkan kualiti hidup penduduk di kawasan luar bandar.

Oleh Adi Safarman