BETONG: Seramai 22 pelajar Politeknik METrO Betong berpeluang mendalami peranan dan fungsi Angkatan Pertahanan Awam (APM) menerusi program lawatan sambil belajar ke APM Daerah Betong, semalam.
Lawatan itu memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai aspek kesiapsiagaan, pengurusan kecemasan serta tanggungjawab APM dalam melaksanakan operasi menyelamat dan bantuan kepada mangsa.
Sepanjang program, para pelajar turut diperkenalkan kepada pelbagai peralatan pengoperasian yang digunakan oleh APM Betong, selain diberikan penerangan mengenai fungsi serta kaedah penggunaannya ketika menjalankan tugasan kecemasan.

Menariknya, para pelajar turut menyaksikan demonstrasi kemalangan jalan raya yang memperlihatkan tatacara anggota APM mengendalikan operasi menyelamat mangsa.
Demonstrasi tersebut memberikan gambaran secara langsung mengenai kemahiran, kepantasan dan profesionalisme anggota APM ketika berdepan situasi kecemasan yang memerlukan tindakan teratur serta pantas.

Program berkenaan bukan sahaja menambah pengetahuan dan pengalaman para pelajar, malah meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan diri, kesiapsiagaan serta peranan agensi penyelamat dalam menangani kecemasan.
APM Betong turut mengalu-alukan penganjuran program berbentuk pendidikan dan pendedahan seumpama itu sebagai platform memperkukuh kefahaman serta hubungan kerjasama antara agensi penyelamat dengan komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman





