Video tular KLIA: APKS serah kepada polis bagi siasatan lanjut

Facebook
WhatsApp
PENGARAH Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain (tengah) ketika sidang media berkaitan rakaman video membabitkannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut mengenai video yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata perkara berkenaan wajar diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut termasuk mengenai motif di sebalik penyebaran rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpiur (KLIA) itu.

“Bagi pihak polis siasat yang lebih lanjut. Rakaman yang dibuat itu pun saya tak tahulah tujuan asalnya. Klip yang tular itu bukan datang daripada sumber asli tetapi diambil melalui satu lagi peranti untuk ditularkan. Dalam perkataan lain, siapakah mereka? Apakah tujuan mereka?,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bagi menjelaskan isu video tular itu yang menampakkan beliau memarahi seorang individu di Terminal 1 KLIA.

Mohd Shuhaily menegaskan AKPS menghormati proses siasatan yang dijalankan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa, dan meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai.

 Beliau berkata proses pemeriksaan dan soal selidik oleh AKPS dengan warga asing seperti yang tular di media sosial sejak semalam hanya melibatkan pasukan operasi AKPS bersama-sama Aviation Security (AVSEC) KLIA sahaja.

Beliau menegaskan proses itu sama sekali tidak melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana agensi penguatkuasaan yang lain.

“Insiden berlaku pada 28 Sept apabila saya bersama-sama pasukan membuat tinjauan persediaan dan kesediaan AKPS dalam menerima pengunjung sempena perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain 2026 hujung minggu ni.

“Selepas itu, AKPS dan AVSEC melakukan penguatkuasaan terhad terhadap sindiket ulat warga asing yang kemudiannya membawa kepada penahanan seorang (daripada) sindiket, dan kita bawa ke dalam bilik pemeriksaan bagasi kepunyaan AVSEC. Ingin saya tegaskan di sini bahawa penguatkuasaan itu hanya melibatkan pegawai AKPS dan AVSEC sahaja,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata ketika soal selidik dibuat, tanpa disedari muncul dua individu yang tidak dikenali sedang merakam perbuatannya, bagaimanapun arahan telah diberikan kepada mereka supaya memadamkan rakaman itu.

“Seperti yang tuan-tuan dapat lihat dalam klip tersebut saya telah memberikan amaran yang paling tegas, setegas-tegasnya sebagai seorang pegawai polis yang telah diamanahkan dan biasa memberi arahan sekerasnya.

“Selepas itu, laporan polis dibuat ke atas saya pada 29 Sept manakala laporan kedua, dua hari selepas kejadian yang kemudiannya disusuli dengan tular klip video rakaman di media sosial. Itu yang menyebabkan AKPS terpaksa membuat satu laporan polis untuk mengatakan ada usaha mungkin untuk mencemar nama atau imej AKPS secara amnya dan saya khususnya,” katanya.

Beliau turut mengulangi komitmen AKPS untuk terus meningkatkan tahap keselamatan di pintu masuk negara susulan aduan dan dakwaan yang diterima pihaknya daripada orang ramai mengenai berlakunya peningkatan aktiviti penyeludupan bahan terlarang dan kontraban hampir setiap hari di KLIA.

“Saya tidak mahu KLIA jadi seperti Selayang dan saya tidak mahu membiarkannya hingga jadi seperti Selayang,” katanya merujuk kepada isu warga asing. – Bernama

KKM batal notifikasi produk kosmetik beracun

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi produk kosmetik GB Daily Glow Skin Cream, selepas dikesan mengandungi racun berjadual, merkuri dan