KABONG: Projek pembinaan Masjid Kabong yang baharu diharap dapat dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan bagi memastikan kemudahan penting itu dapat dimanfaatkan oleh masyarakat Islam setempat mengikut perancangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata aspek berkaitan kemajuan kerja, penyelarasan teknikal serta pelaksanaan projek perlu diberi perhatian serius supaya setiap komponen pembinaan dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.
Beliau berharap kerja-kerja pembinaan masjid tersebut dapat diteruskan mengikut tempoh yang dirancang, selain mematuhi spesifikasi, standard kualiti serta keperluan yang telah ditetapkan.
“Kerjasama erat antara agensi pelaksana, pihak perunding dan kontraktor amat penting bagi memastikan setiap isu yang timbul dapat diselesaikan dengan segera tanpa menjejaskan kelancaran projek,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Tapak bagi Cadangan Pembinaan Masjid Baharu Kabong yang berlangsung di Pejabat Daerah Kabong, hari ini.
Menurutnya, mesyuarat itu berfungsi sebagai platform penyelarasan antara semua pihak berkepentingan bagi membincangkan perkembangan semasa projek selain menyelesaikan perkara-perkara teknikal berkaitan pelaksanaannya.
Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah wakil Majlis Islam Sarawak (MIS), Jabatan Agama Islam Bahagian Betong, Pejabat Daerah Kabong serta pihak perunding dan kontraktor projek termasuk Perunding Azra Sdn. Bhd., Jurutera Azan Bersekutu Sdn. Bhd., Kumpulan Ukor Bahan Sarawak dan Doland (M) Sdn. Bhd.
Projek pembinaan Masjid Kabong yang baharu itu dijangka menjadi kemudahan penting yang bakal memberi manfaat kepada masyarakat Islam setempat serta memenuhi keperluan penduduk Kabong yang semakin berkembang pada masa hadapan.
Sebelum ini, Chee Kadir turut menegaskan kepentingan memastikan projek tersebut berjalan lancar dan berjaya disiapkan mengikut tempoh yang telah dirancang.
Oleh Adi Safarman





