Isu banjir Maludam terus diberi perhatian, penyelarasan projek diperkasa

Facebook
WhatsApp
DAYANG Noorazah menghadiri Sesi Dialog Projek Tebatan Banjir dan Membaik Pulih Sistem Saliran di Maludam bersama JPS Sarawak serta pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek, di Maludam hari ini. Foto ADUN Lingga

MALUDAM: Isu banjir dan keperluan penambahbaikan sistem saliran di Maludam terus diberi perhatian bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk setempat sentiasa terjamin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, sesi dialog berkaitan projek tebatan banjir dan membaik pulih sistem saliran menjadi platform penting untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkembangan projek berkenaan.

Menurutnya, sesi tersebut turut membuka ruang perbincangan mengenai isu banjir yang berlaku serta keperluan penambahbaikan sistem saliran berdasarkan keadaan sebenar di lapangan.

“Penyelarasan antara pihak berkaitan penting bagi memastikan keperluan penduduk dan keadaan sebenar di lapangan diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Dialog Projek Tebatan Banjir dan Membaik Pulih Sistem Saliran di Maludam bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak serta pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek, di sini hari ini.

Dayang Noorazah berkata, beliau akan terus memberikan perhatian terhadap perkembangan projek tersebut memandangkan isu banjir dan sistem saliran mempunyai kaitan rapat dengan keselamatan kediaman serta keselesaan penduduk.

Katanya, usaha penambahbaikan yang dilaksanakan juga penting bagi membantu memastikan aktiviti harian masyarakat setempat dapat berjalan dengan lebih lancar, terutama ketika berdepan keadaan hujan lebat dan risiko banjir.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JPS Sarawak serta semua pihak yang terlibat atas kerjasama dan komitmen dalam menjayakan sesi dialog berkenaan demi memastikan keperluan serta kesejahteraan masyarakat Maludam terus diberi perhatian.

Oleh Adi Safarman