Bulan Malaysia Sihat Sejahtera meriah di SMK Lawas

Facebook
WhatsApp
SAMBUTAN MERIAH... Pelajar SMK Lawas memberikan kerjasama dan menunjukkan respons yang baik sepanjang program berkenaan berlangsung di Dewan Lantera, SMK Lawas.

LAWAS: Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera dan Program Dari Belia Untuk Belia sempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Daerah Lawas 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lawas mendapat sambutan menggalakkan daripada warga sekolah.

Program berkenaan menyediakan pelbagai aktiviti interaktif dan pameran kesihatan bagi meningkatkan pengetahuan serta kesedaran murid mengenai kepentingan menjaga kesihatan fizikal, mental dan kesejahteraan diri.

Sebanyak 17 gerai pameran disediakan yang mengetengahkan pelbagai aspek kesihatan, termasuk kebersihan, penyakit bawaan nyamuk dan haiwan seperti rabies, saringan kesihatan serta pencegahan penyalahgunaan bahan seperti rokok dan vape.

Murid SMK Lawas turut mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan di setiap gerai, sekali gus memberi mereka peluang memperoleh maklumat berkaitan penjagaan kesihatan menerusi pendekatan yang lebih menarik dan bersesuaian dengan golongan belia.

Dalam pada itu, guru sekolah berkenaan turut memanfaatkan program tersebut dengan mendapatkan pelbagai perkhidmatan dan menyertai aktiviti berkaitan kesejahteraan diri, termasuk saringan kesihatan, fisioterapi, kesihatan mental dan terapi cara kerja mengikut keperluan masing-masing.

Program turut dimeriahkan dengan aktiviti senamrobik anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menggalakkan warga sekolah mengamalkan gaya hidup aktif, selain mewujudkan suasana ceria dan bertenaga sepanjang program berlangsung.

Oleh Adeng Edrus