Sarawak berdepan populasi menua, kadar kelahiran semakin menurun

Facebook
WhatsApp
ALBUM...Datuk Rosey Yunus dan rombongan merakam kenangan bersama penduduk Kampung Baru Subis 2 di Program Biro Wanita di Miri hari ini.

MIRI: Sarawak dijangka mencapai status sebagai negeri tua menjelang 2028 apabila penduduk berusia 60 tahun ke atas diunjurkan melebihi 15 peratus daripada keseluruhan populasi negeri.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus berkata, perkembangan itu berlaku seiring dengan trend penurunan kadar kelahiran di negeri ini.

Menurutnya, keadaan tersebut membimbangkan kementerian kerana jumlah kelahiran yang semakin berkurangan akan memberi kesan terhadap struktur populasi Sarawak pada masa akan datang.

“Pada 2020, kita memohon peruntukan kerajaan sekitar RM4 juta untuk anak yang lahir, ketika itu jumlah mencecah kira-kira 41,000 kelahiran.

“Bagaimanapun, sekarang jumlah kelahiran hanya sekitar 28,000. Memang berlaku penurunan,” katanya.

Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian pada Program Biro Wanita di Kampung Baru Subis 2 hari ini.

Beliau berkata, kementerian kini sedang berbincang dan merangka pelbagai pendekatan bagi menangani isu penurunan kadar kelahiran, termasuk melalui pembangunan awal kanak-kanak.

Katanya, usaha meningkatkan kadar kelahiran perlu diberi perhatian memandangkan Sarawak dijangka menjadi negeri tua lebih awal berbanding Malaysia secara keseluruhan.

“Malaysia dijangka menjadi negara tua pada 2030, tetapi Sarawak lebih awal kerana kita akan mempunyai populasi berusia 60 tahun ke atas melebihi 15 peratus pada 2028.

“Bayangkan satu masa nanti kita mempunyai ramai orang tua tetapi semakin kurang anak-anak kecil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan golongan muda supaya tidak terlalu menangguhkan perancangan untuk mempunyai anak, selaras dengan keperluan memastikan keseimbangan struktur penduduk negeri pada masa depan.

Beliau berkata, kementerian turut meneliti pelbagai aspek berkaitan kesuburan, kesihatan keluarga serta sokongan kepada pasangan muda sebagai sebahagian daripada usaha menangani trend penurunan kelahiran.

“Kita perlu fikir apa yang boleh dilakukan supaya lebih ramai anak dilahirkan dan pada masa yang sama memastikan keluarga mendapat sokongan yang sewajarnya,” katanya.

Hadir sama ialah Ketua Wanita DUN Bekenu Kaunselor Hadijah Sheikh, Ketua Kampung (KK) Bakri Latif.

Oleh Adum Liu