Rumah Ipa tercicir senarai bekalan air terawat, JBALB diminta ambil tindakan segera

Facebook
WhatsApp
FRIDAY Belik ketika mengadakan lawatan ringkas ke Rumah Ipa, Krango, Krian, semalam. Foto ADUN Krian

KRIAN: Masalah bekalan air yang dihadapi penduduk Rumah Ipa, Krango, di sini, mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, yang mahu tindakan segera diambil bagi memastikan keperluan asas penduduk terbabit terbela.

Friday berkata, lawatan yang dilakukannya ke rumah panjang berkenaan adalah bagi melihat sendiri keadaan serta mendengar secara langsung masalah dan rintihan penduduk yang berdepan gangguan bekalan air sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, beliau agak terkilan selepas dimaklumkan bahawa Rumah Ipa dipercayai tercicir daripada senarai rumah panjang yang sepatutnya menerima bekalan air bersih terawat daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

“Saya agak terkilan apabila diberitahu bahawa rumah panjang tersebut tercicir daripada senarai rumah panjang yang sepatutnya mendapat bekalan air bersih terawat daripada JBALB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ringkas ke Rumah Ipa, Krango, Krian, semalam.

Jelasnya, masalah bekalan air menjadi semakin ketara ketika musim kemarau melanda baru-baru ini apabila sumber air graviti yang selama ini digunakan penduduk mengalami kekeringan.

“Isu ini timbul apabila musim kemarau melanda baru-baru ini yang menyebabkan mereka putus bekalan air graviti yang sudah kering,” katanya.

Sehubungan itu, Friday berkata beliau telah memohon pihak JBALB supaya mengambil tindakan segera bagi menangani masalah tersebut secara menyeluruh dan mencari penyelesaian yang dapat memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk Rumah Ipa.

“Dengan lawatan sebentar tadi, saya memohon pihak JBALB untuk mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah tersebut secara holistik,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk turut mengambil kesempatan mengemukakan beberapa isu serta keperluan lain yang telah lama membelenggu mereka, selain berharap perkara berkenaan dapat diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak berkaitan.

Friday berkata, segala permasalahan yang dibangkitkan penduduk akan diberi perhatian dan diambil tindakan mengikut bidang kuasa serta keutamaan, khususnya perkara yang melibatkan keperluan asas dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Oleh Adi Safarman