PETRA JAYA: Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mohamad Zainal Abdullah merakamkan penghargaan kepada pengamal media Sarawak atas sokongan dan kerjasama berterusan dalam membuat liputan mengenai usaha serta kejayaan pasukan keselamatan itu sepanjang beliau menerajui Kontinjen Sarawak.
Beliau berkata, liputan media memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat mengetahui usaha PDRM, termasuk kejayaan operasi, rampasan dan pelbagai tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan demi menjaga keselamatan serta keamanan negeri.
“Tidak lupa juga kepada sahabat-sahabat media saya yang sentiasa memberikan sokongan, membuat liputan setiap masa kepada Kontinjen Sarawak ini sehingga berita-berita kejayaan, rakaman-rakaman dan rampasan-rampasan dapat disampaikan kepada masyarakat di Kontinjen Sarawak ini.
“Dengan itu, mereka tahu apa yang telah kita lakukan dalam memberikan khidmat, keselamatan dan menjaga keamanan di Sarawak yang kita cintai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sarawak di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Zainal turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga PDRM Kontinjen Sarawak atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh beliau memegang jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak.
Katanya, tempoh setahun lima hari menerajui Kontinjen Sarawak memberikan pengalaman bermakna, selain menyaksikan kerjasama baik bukan sahaja daripada warga PDRM malah ketua jabatan di peringkat negeri.
“Saya amat bangga kepada tuan dan puan kerana sepanjang saya menjadi Pesuruhjaya Polis Sarawak, saya dapat kerjasama yang baik bersama dengan tuan-tuan.
“Saya mendapat kerjasama bukan sahaja daripada pegawai tetapi juga masyarakat di sekeliling saya termasuklah ketua jabatan di peringkat negeri yang sangat menyokong sehingga tempoh setahun itu tidak terasa,” katanya.
Mohamad Zainal dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak pada 26 September 2025 dan menyandang jawatan itu selama 370 hari sebelum dilantik sebagai Pengarah Pengurusan PDRM pada 15 September lalu.
Beliau turut berharap warga PDRM Sarawak terus memberikan kerjasama kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu bagi memastikan tanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini dapat diteruskan dengan baik.
Majlis berkenaan turut disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Sri Abdul Aziz Abdul Majid, yang hadir menyaksikan penyerahan tugas jawatan Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak daripada Datuk Mohamad Zainal Abdullah kepada Deputi Komisioner Polis, Saifullizan Ishak.
Pada majlis sama, turut berlangsung penyerahan tugas jawatan Pemangku Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak kepada Faisha Ishak, dengan disaksikan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, Datin Sri Selmiah Tuan Ibrahim.
Oleh Shahrul Qaizat





