Premier Sarawak akui risiko hidrogen, yakin teknologi mampu kurangkan kos

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari ditemui media bagi mengulas prospek industri hidrogen, termasuk risiko pembangunan dan potensi teknologi baharu dalam mengurangkan kos pengeluaran. Foto Ukas

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengakui pembangunan industri hidrogen mempunyai risiko, namun yakin kemajuan teknologi mampu mengurangkan kos pengeluaran dan meluaskan pasaran pada masa depan.

Beliau berkata, risiko berkenaan perlu dinilai dengan mengambil kira perkembangan teknologi yang berpotensi meningkatkan kecekapan pengeluaran serta mengurangkan penggunaan tenaga.

“Kita mengambil maklum apa yang beliau perhatikan. Beliau menyebut mengenai pelanggan, sama ada projek itu berdaya maju atau tidak.

“Sudah tentu apabila kita melakukan sesuatu yang baharu, terdapat unsur ketidakpastian dari segi penggunaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan ucaptama pada Sarawak Corporate Leadership Summit 2026 (SCOPE) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, apabila kos pengeluaran dapat dikurangkan menerusi perkembangan teknologi, asas pelanggan bagi hidrogen juga boleh diperluaskan.

ABANG Johari bersama barisan tetamu kehormat ketika menghadiri Sarawak Corporate Leadership Summit 2026 (SCOPE) di sebuah hotel di Kuching, hari ini. Foto Ukas

Menurutnya, keadaan itu merupakan persoalan ‘ayam dan telur’ kerana pembangunan industri baharu memerlukan pengambilan risiko, namun risiko berkenaan perlu dinilai terlebih dahulu.

“Kita perlu mengambil risiko, tetapi sebelum mengambil risiko, kita perlu menilai,” katanya.

Beliau memberi contoh perkembangan teknologi komputer yang pada peringkat awal mempunyai kos tinggi, namun menjadi lebih murah selepas teknologi dalam proses pengeluaran berkembang.

“Jadi saya fikir perkara yang sama akan berlaku kepada hidrogen,” katanya.

Abang Johari berkata, kos pengeluaran hidrogen ketika ini dipengaruhi oleh kos tenaga dalam proses elektrolisis, namun perkembangan teknologi membran berpotensi mengurangkan kos berkenaan.

Katanya, apabila membran yang digunakan dalam proses elektrolisis menjadi lebih cekap dan boleh digunakan dalam kelompok yang lebih besar, penggunaan tenaga juga dapat dikurangkan.

Beliau turut menyebut terdapat beberapa teknologi elektrolisis, termasuk sistem berasaskan alkali dan membran pertukaran proton (PEM), dalam pengeluaran hidrogen.

Abang Johari turut merujuk kepada perkembangan teknologi yang menyaksikan beberapa negara seperti Jerman dan China kembali memberi perhatian kepada hidrogen.

Kenyataan beliau menyusul pandangan penganalisis Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, yang mempersoalkan daya maju pasaran hidrogen Sarawak, khususnya dari segi kewujudan pelanggan yang sanggup membeli pada harga berdaya maju secara komersial.

Samirul turut membangkitkan persoalan mengenai permintaan, kos penghantaran hidrogen ke Jepun serta keperluan memastikan projek mempunyai pembeli dan asas komersial yang jelas sebelum menerima sokongan tambahan.

Menjawab kebimbangan tersebut, Abang Johari berkata risiko memang wujud tetapi perkembangan teknologi perlu turut diambil kira dalam menilai prospek industri hidrogen.

“Ya, saya bersetuju dengan beliau bahawa terdapat risiko, tetapi kita perlu menganalisis risiko itu dan melihat teknologi yang akan diterapkan pada masa depan,” katanya.

Oleh Afiq Sallehi