Sambutan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-80 berlangsung empat hari

Facebook
WhatsApp
KENANGAN…Dato Sri Julaihi Narawi bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan sambil memegang poster Sambutan Perayaan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-80, hari ini. Foto Norman B

KUCHING: Sambutan Perayaan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-80 akan berlangsung selama empat hari mulai 8 hingga 11 Oktober ini dengan pelbagai acara rasmi dan program rakyat dijadualkan di sekitar bandar raya ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, sambutan peringkat negeri itu akan dimulakan dengan Majlis Kesyukuran di Masjid Jamek Sarawak pada 8 Oktober, 6.00 petang yang dijangka dihadiri kira-kira 3,000 orang.

Menurutnya, Khutbah Khas sempena sambutan berkenaan akan diadakan di seluruh masjid di Sarawak bersempena solat Jumaat pada 9 Oktober.

MESYUARAT…Suasana mesyuarat penyelarasan Sambutan Perayaan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-80 di sebuah hotel terkemuka, hari ini. Foto Norman B

Pada malam sama, Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain pula akan berlangsung di Kompleks UNIFOR dengan jangkaan kehadiran kira-kira 1,000 orang.

“Khutbah khas sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-80 akan diadakan pada 9 Oktober bersempena solat Jumaat di seluruh masjid di Sarawak, manakala Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain akan berlangsung di Kompleks UNIFOR pada malam yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sambutan Perayaan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-80 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Julaihi berkata, kemuncak sambutan pada 10 Oktober akan menyaksikan Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa di Padang Merdeka bermula 8.00 pagi, membabitkan 106 kontinjen daripada tujuh kategori serta dijangka menarik kehadiran kira-kira 5,000 orang.

“Saya juga mengambil peluang ini untuk menggesa warga Kuching, Samarahan, Serian dan kawasan sekitar untuk hadir memeriahkan Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa pada sebelah pagi serta Konsert Rakyat pada malamnya yang bakal berlangsung pada 10 Oktober di Padang Merdeka,” katanya.

Pada hari sama, Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak akan berlangsung di Dewan Istiadat, Astana Negeri Sarawak pada 12.00 tengah hari, manakala Majlis Jamuan Negeri dijadualkan pada 8.00 malam di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Konsert Rakyat di Padang Merdeka pula akan bermula 8.00 malam dan dijangka menghimpunkan kira-kira 10,000 orang dengan persembahan artis terkenal tanah air antaranya Dato Awie, Aina Abdul dan Floor88, selain barisan artis tempatan.

Sambutan kemudian diteruskan dengan Majlis Jamuan Teh pada 11 Oktober, 10.30 pagi yang dijangka dihadiri kira-kira 700 tetamu.

Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS), Jabatan Premier Sarawak bertindak sebagai agensi penyelaras utama sambutan dengan kerjasama kementerian, jabatan serta agensi negeri dan Persekutuan.

Sambutan tahunan itu antara lain bertujuan menyebarluaskan peranan dan kepentingan institusi Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam konteks sejarah negeri, selain memastikan institusi berkenaan terus menjadi sumber kekuatan kepada kepelbagaian kaum dalam mencapai kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

Oleh Norman B