SERIAN: Polis menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 22 dan 29 tahun dalam operasi berasingan di Padawan dan Bau, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes kecurian motosikal di Serian pada 17 September lalu.
Ketua Polis Daerah Serian, Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian, berkata tangkapan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian.
“Hasil operasi berkenaan, polis merampas sebuah motosikal Yamaha Y15ZR tanpa nombor pendaftaran serta sebuah telefon bimbit Honor yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah, manakala semakan rekod mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.
Freddy turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah kepada pihak polis.
“Kerjasama masyarakat amat dihargai dalam membantu pihak polis membanteras jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah Serian terus terpelihara,” katanya.
Maklumat boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Serian di talian 082-874201, melalui Facebook IPD Serian atau dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Connie Chieng





